Jamal gagal gantung perintah bayar ganti rugi RM300,000

Jamal gagal gantung perintah bayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa

TERESA KOK dan JAMAL MD. YUNOS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tetap diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Kim berhubung dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Perkara itu ditetapkan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonannya untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang diputuskan pada 26 Julai 2022.

Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Teresa berkata, Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Mohd. Arief Emran Arifin menolak permohonan Jamal selaku defendan dengan kos RM3,000 dibayar kepadanya.

“Mahkamah menolak permohonan (Jamal) untuk menggantung perlaksanaan penghakiman itu atas alasan tidak wujud apa-apa keadaan istimewa untuk penggantungan,” katanya ketika dihubungi wakil media selepas prosiding secara dalam talian hari ini.

Sementara itu, peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya akan merayu terhadap keputusan berkenaan.

Pada 26 Julai 2022, Teresa berjaya memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan samannya.

Dalam keputusan itu, JC Mohd. Arief turut mengarahkan defendan (Jamal) membayar kos RM50,000 kepada plaintif.

Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam penyataan tuntutan, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya