Jalan rosak: Hampir setiap minggu ada tayar pecah, pancit

Jalan rosak: Hampir setiap minggu ada tayar pecah, pancit

KEADAAN permukaan jalan raya yang rosak di kawasan KKIP, Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hampir setiap minggu pasti ada tayar kenderaan yang pancit atau pecah akibat jalan berlubang sepanjang laluan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini.

Christina Agun, 60, yang mengusahakan gerai tepi jalan di KKIP sejak setahun lalu berkata, kejadian tayar pecah atau pancit sudah ‘menjadi kebiasaan’ di kawasan itu kerana setiap minggu pasti ada kejadian sebegitu berlaku.

“Kejadian paling teruk yang saya nampak adalah penunggang motosikal terjatuh kerana melanggar lubang semasa musim hujan.

“Jika hujan, pengguna tidak nampak di mana laluan yang berlubang mengakibatkan mereka melanggarnya. Ada yang jatuh manakala kejadian tayar pancit atau pecah sudah menjadi kebiasaan.

“Hampir setiap minggu ada sahaja pelanggan yang singgah di gerai saya memberitahu tayar kenderaan mereka pancit atau pecah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Christina berkata, biarpun ada kerja-kerja pembaikan dilakukan namun dalam tempoh seminggu, jalan yang sama kembali rosak dipercayai kerana penggunaan bahan untuk menampal lubang itu tidak berkualiti.

Katanya, kawasan itu antara laluan utama maka kerja penyelenggaraan perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi mengelakkan pengguna berhadapan masalah kerosakan tayar.

Sementara itu, Munira Ladis, 37, berkata, jalan ‘berkawah’ di kawasan Kinabatangan bukan hanya menyebabkan kerosakan pada tayar kereta malah mengancam nyawa pengguna jalan raya.

“Saya sendiri pernah terbabas ke dalam longkang tepi jalan disebabkan lori sawit cuba mengelak daripada melanggar lubang. Jika saya tidak mengelak sudah pasti kenderaan kami bertembung,” katanya.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau memberitahu Dewan Rakyat bahawa jalan raya di Sabah sama dengan permukaan bulan yang berkawah.

Beliau turut berseloroh dengan menyatakan sekiranya rakyat Malaysia ingin merasai pengalaman seorang angkasawan berada di bulan boleh ke Sabah dengan memandu sendiri kenderaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×