JASIN: Syarikat katering yang membekalkan makanan tidak berkualiti kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai akan disenaraihitamkan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan mangsa banjir berkenaan isu ikan kembung busuk yang diberikan kepada mereka.
“Saya bagi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agak terkejut dan kesal apa yang berlaku semalam. Dikhabarkan makanan yang dihidangkan kepada mereka tidak memuaskan.
“Saya memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dalam hal yang sebegini dan kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pembekal ini, jika didapati berlaku kecuaian.
“Namun apa yang kita dapati hari ini, sebelum sempat saya hendak berjumpa dengan pembekal, makanan hari ini cantik pula,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di PPS SK Sungai Rambai di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan perasaan kecewa dan terkilan penghuni di PPS itu yang mendakwa, makanan tengah hari dibekalkan kepada mereka tidak berkualiti sejak dua hari lalu.
Seorang mangsa dari Kampung Batu Gajah Pasir, Zariffudin Abdul Hamid, 45, berkata, isterinya
mengalami cirit birit selepas makan nasi berlauk ikan kembung yang dibekalkan, kelmarin.
Menurutnya, ketika membuka pek makanan tersebut, dia mendapati keadaan ikan sudah berbau busuk hingga menyebabkannya membuang juadah berkenaan.
Tambah Kalsom, pihaknya akan membuat pemantauan terperinci di semua PPS yang dibuka selepas ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Sepatutnya kejadian ini tidak seharusnya berlaku dan paling tidak makanan yang dihidangkan mempunyai kombinasi yang baik, mesti ada sayur sedikit, ikan atau ayam serta berkualiti.
“Pihak katering sepatutnya jangan terlalu memikirkan keuntungan semata-mata, walaupun kadar bayaran dikenakan sebanyak RM20 bagi satu kepala sehari,” jelasnya. – UTUSAN










