Industri perfileman kena berani, kreatif - Farid Kamil - Utusan Malaysia

Industri perfileman kena berani, kreatif – Farid Kamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLIBAT dalam produksi filem Indonesia, Anwar: The Untold Story membuka mata pelakon, Farid Kamil bahawa industri perfileman tempatan memerlukan satu perubahan dan keterbukaan yang besar.

Tidak terlalu mengagungkan produksi luar jauh sekali merendahkan pemain tempatan, jelas Farid, industri filem tempatan perlu menerima pandangan serta kritikan secara positif untuk maju ke hadapan.

“Kita perlu lebih berani dan kreatif. Itu bukan untuk merendahkan sesiapa, tetapi satu tamparan untuk saya sendiri sebagai seorang penerbit. Kita harus berani mengetengahkan cerita benar, berdasarkan fakta.

“Tidak terkongkong dan berkembang dari segi naratif serta struktur penceritaan sesebuah naskhah. Senario pembikinan filem di sana sangat mengujakan. Saya seperti superstar, tetapi bukan maksudnya dilayan seperti anak raja.

“Di sana, segala keperluan lengkap. Bagaimana mereka menzahirkan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sangat teliti. Saya dilengkapkan juga dengan tenaga pengajar di set penggambaran, itu sesuatu yang baharu,”katanya.

Tambah Farid lagi, kos pembikinan sesebuah filem itu mungkin menjadi penghalang atau punca beberapa naskhah tempatan masih di takuk lama namun perkara itu harus diperbaiki dengan belajar dari produksi luar.

“Kita ada banyak penerbit, pengkarya dan pemain industri yang hebat. Cuma mungkin ada beberapa halangan atau sebab yang membuatkan kita agak ke belakang. Tetapi kita boleh perbaiki itu.

“Sebagai contoh, kos pembikinan Anwar: The Untold Story tidak terlalu besar tetapi bagaimana mereka merealisasi dan menzahirkan penceritaan itu mengagumkan saya. Mereka membina rumah, balai polis cukup teliti.”

“Malah, untuk watak Anwar sendiri, mereka benar-benar kaji cincin, pakaian dan imej dia dengan teliti. Cara mereka menghargai sosok hebat itu memang hampir sempurna,” kata pelakon Anak Halal (2007) itu.

PERJUANGAN SEORANG PEMIMPIN

Memegang watak Anwar dalam filem yang bakal menjengah ke pawagam Mei depan, Farid mengambil masa yang lama sebelum bersetuju untuk menjayakan karakter yang ‘digeruni’ ramai itu.

Malah, dia jujurnya tertanya-tanya adakah mampu untuk menzahirkan watak ikonik tersebut apatah lagi naskhah arahan sutradara Indonesia, Viva Westi itu digarap berdasarkan kisah sebenar dari sudut pandang Perdana Menteri ke-10 itu.

“Saya berfikir sekali sahaja tapi panjang. Mungkin tahun lepas sebelum mula penggambaran, ketakutan untuk menjayakan watak itu ada. Saya perlu menzahirkan insan hebat yang dikenali ramai, satu dunia.

“Tetapi saat kita memulakan penggambaran, produksi menyediakan tenaga pengajar yang bersama saya setiap hari untuk memasti Anwar ‘muncul’ di layar perak. Itu satu cabaran yang mengujakan,” ujarnya.

Kongsi Farid lagi, ketika sedang menjalani penggambaran, satu persoalan terbit di dalam fikirannya. Apakah filem ini boleh ditayangkan di Malaysia? Bagaimana kerjaya seninya jika Anwar bukan Perdana Menteri?

“Saya ada bertemu dengan Perdana Menteri itu beberapa kali sebelum memulakan penggambaran. Saya menilai dan mengkaji karakternya dengan cara tersendiri.

“Saya berdoa berkali-kali supaya impian untuk melihat Anwar berdiri sebagai Perdana Menteri menjadi kenyataan. Kalau tidak, cita-cita melihat filem ini ditayangkan di pawagam tempatan akan terkubur,” katanya.

Selain Farid, Anwar: The Untold Story turut dibintangi bintang-bintang tempatan dan Indonesia seperti Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Piet Pagau, Dew Irawan dan ramai lagi.

Naskhah terbitan Bianglala Entertainment itu mengisahkan sejarah jatuh bangun perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam politik terutama melawan rasuah.

Filem itu mengangkat kisah dari tahun 1993 hingga September 1998, iaitu ketika Anwar mula menjawat jawatan Menteri Kewangan sehinggalah dipecat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN