Imbas kod QR salur aduan kebersihan makanan di bazar Ramadan

Imbas kod QR salur aduan kebersihan makanan di bazar Ramadan

ZALIHA Mustafa melancarkan Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di Presint 3 Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan di pusat pentadbiran kerajaan di sini disaran untuk mengimbas kod QR yang disediakan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bagi menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, setiap aduan akan diambil tindakan secepat mungkin oleh BKKM termasuk menguji sampel makanan.

“Ada kod QR yang disediakan untuk pengguna imbas dan salurkan aduan mereka termasuk nyatakan lokasi bazar yang dikunjungi sekali,” katanya kepada pemberita selepas sesi tinjau mesra dan pelancaran Op Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di Presint 3, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian pensampelan makanan secara rawak di setiap bazar Ramadan di seluruh negara.

Jelasnya, ia bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Kita tahu terutama di musim bulan Ramadan keselamatan makanan itu sangat penting kerana ketika proses penyediaan kadang-kadang mungkin ada rambut, mikroorganisma atau pun makanan telah basi, jadi ia bagi mengelak kes keracunan makanan,” ujarnya.

Beliau berkata, BKKM dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya juga meneruskan operasi meliputi kempen keselamatan makanan secara komprehensif bagi memastikan makanan yang dijual di bazar Ramadan adalah selamat dan berkualiti.

Tambahnya, operasi itu bertujuan melindungi kesihatan awam dan mempromosi amalan keselamatan makanan dalam kalangan penjual dan pengguna.

Katanya lagi, pada operasi yang dijalankan pada Ramadan tahun lalu, sebanyak 19,951 premis makanan diperiksa dengan 38 premis makanan yang tidak bersih dikenakan tindakan penutupan dan 1,030 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.