PADANG TERAP: Penemuan bangkai ikan yang terapung di permukaan sebatang saliran menimbulkan tanda tanya kepada penduduk Kampung Tandop, Kampung Barokhas dan kawasan sekitar di Kuala Nerang, di sini apabila air bertukar warna hitam serta berbau busuk.
Malah, kesan seperti minyak turut kelihatan di permukaan saliran tersebut sejak beberapa hari lalu yang secara tidak langsung menggusarkan penduduk terhadap kemungkinan berlaku pencemaran bahan berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.
Seorang penduduk, Daharah Lateh, 66, berkata, bukan sahaja ikan ditemukan mati, bahkan lembu peliharaannya enggan minum air di saliran tersebut walaupun dibawa ke tempat yang lebih jernih.
Katanya, penduduk mula menyedari perkara itu selepas mereka mahu memancing ikan yang kemudian didapati bau amat busuk datang dari arah saliran berkenaan.
“Di saliran ini ramai yang datang memancing setiap hari tetapi sejak kejadian tersebut, mereka bimbang apatah lagi melihat banyak ikan mati ekoran air yang berwarna hitam dan pekat seperti minyak.
“Kami bimbang sekiranya berlaku aktiviti tertentu di kawasan sepanjang saliran ini yang mungkin boleh membahayakan nyawa penduduk jika tindakan tidak diambil kerana secara tiba-tiba sahaja air berwarna hitam dan busuk,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Mariam Kadir, 72, mendakwa, kejadian sama pernah berlaku pada tahun lalu, namun tidak sehingga menjejaskan hidupan di saliran terbabit.
“Kalau kita berdiri di tebing saliran ini memang bau busuk boleh dihidu, kami risau kerana ramai penduduk yang tinggal di sepanjang saliran yang bersambungan dengan Sungai Pedu di Kampung Jelutong.
“Kami tidak mahu mengesyaki apa-apa perkara tanpa usul periksa pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), jadi harap pihak berkenaan turun dan mengambil tindakan susulan agar kami dapat hidup tenteram dan tidak bimbang lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Nazli Mokhtar, 53, berkata, kejadian tersebut mungkin berlaku sepanjang masa, namun tidak seteruk musim kemarau ketika ini yang menyebabkan air di saliran berkenaan cetek.
“Kalau diikutkan saliran ini airnya paras pinggang dan arus bergerak dengan baik. Jadi pada musim panas ini apabila air tersekat menyebabkan pencemaran tersebut turut melekat di permukaan air dan tebing-tebingnya.
“Mungkin ketika musim hujan atau arus laju, kesan-kesan pencemaran itu tidak tersangkut seperti ini. Rumah saya tidak sampai 20 meter daripada tebing saliran itu, jadi kadangkala apabila berehat di pondok luar rumah menyebabkan kami terpaksa menghidu bau busuk yang dibawa angin,” katanya.
Utusan Malaysia cuba mendapatkan reaksi JAS Kedah berhubung isu terbabit, namun belum menerima sebarang maklum balas. – UTUSAN











