KUALA LUMPUR: Isteri pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam, Fatimah Ismail menyuarakan kesediaan untuk menjadi saksi bagi mendapatkan keadilan buat menantunya, Puteri Sarah Liyana yang kini menemui jalan buntu selepas gagal memperoleh persetujuan suami yang juga pengarah, Syamsul Yusof untuk menceraikannya.
Puteri Sarah yang memaklumkan perkara itu berkata, Fatimah, menerusi hantaran WhatsApp yang dihantarkan awal pagi semalam memberitahu akan sedia hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dan bukti tentang penderitaan yang ditanggung Puteri Sarah termasuk isu gangguan rumah tangga yang dihadapinya sebelum ini.
“Sekitar Subuh tadi, ibu mertua saya ada memaklumkan bahawa dia sedia menjadi saksi dan mencelah untuk memberi keterangan kepada mahkamah berkenaan gangguan orang ketiga terhadap rumah tangga saya.
“Dia tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangga saya dan dialah yang menyelamatkan saya, keluarkan saya dari rumah saya sekitar tahun 2020 yang lalu. Justeru dia sedia untuk mempertahankan saya dalam perkara ini,” katanya usai prosiding sebutan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Terdahulu, Peguam syarie, Rushdan Sujak yang mewakili Syamsul memberitahu mahkamah keengganan anak guamnya menceraikan Puteri Sarah kerana percaya masih ada ruang untuk berdamai.
Sehuhungan itu, Hakim Mahkamah Syariah, Akmaluddin Ilyas memerintahkan pihak-pihak melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) untuk mencari jalan penyelesaian.
Mengulas lanjut, kata Puteri Sarah, dia sudah tidak rela untuk bergelar isteri kepada Syamsul dan berharap agar segera dilepaskan dengan cara baik.
“Saya sudah tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap dia, jadi tak ada apa lagi yang perlu dibincangkan. Tindakan itu (berbincang) sepatutnya dibuat tiga tahun lepas. Baru hari ini dia sedar dan rasa kehilangan. Segalanya sudah terlambat. Semua itu patut dirasakannya tiga tahun lalu.
“Bagi yang menuduh saya menghalang poligami, mereka tak tahu apa yang berlaku. Dulu saya tidak mendedahkan apa-apa (soal rumah tangga) sebab saya masih sayang dia dan tutup aibnya.
“Kenapa sekarang dia tak nak lepaskan saya? Tolong lepaskan, saya nak move on,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Puteri Sarah juga memaklumkan terkejut dengan tindakan Syamsul yang enggan melepaskannya.
“Saya tak sangka dia tak nak ceraikan. Layanan yang saya terima daripadanya selama ini memberi gambaran dia sedia melepaskan saya.
“Saya terkejut apabila dia menyatakan mahu berdamai. Kalau benar mahukan perdamaian, kenapa sampai sekarang dia tidak menjelaskan kepada saya, keluarga saya dan ibu bapanya tentang perkahwinannya di Thailand?
“Saya sudah tak nak ada kaitan dengan dia. Tolong lepaskan saya,” ujarnya.
Disoal tentang penerimaan anak-anak, kata Puteri Sarah, Syaikhul dan Sumayyah sudah maklum tentang konflik yang berlaku antara dia dan Syamsul.
Bagaimanapun katanya mereka tidak terkesan, malah bahagia dibawah jagaannya.
“Anak-anak okey, mereka bahagia dibawah jagaan saya. Anak saya, Syaikhul Islam ada bertanyakan perkara itu kepada Datuknya, Datuk Yusof Haslam.
“Saya bertuah kerana memiliki ibu dan bapa mertua yang baik dan memahami. Mereka tetap sayangkan anak-anak saya walau apa yang berlaku antara saya dan Syamsul,” ulasnya.- utusan