Ibu kandung, bapa tiri tidak mengaku eksploitasi seks anak OKU - Utusan Malaysia

Ibu kandung, bapa tiri tidak mengaku eksploitasi seks anak OKU

SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memperdagangkan anak perempuan yang juga OKU lembam bagi tujuan eksploitasi seksual Januari lalu. - Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan anak perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam bagi tujuan eksploitasi seksual Januari lalu.

Tertuduh, Salleh Ali, 63, dan Siti Aida Ismail, 40, yang juga masing-masing bapa tiri dan ibu kandung mangsa membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah memperdagangkan anak perempuan mereka berusia 20 tahun yang juga pemegang kad OKU masalah pembelajaran pada bulan Januari hingga 14 Februari lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsa Desa Wawasan, Jalan Tembikai di Bukit Mertajam antara pukul 6 petang hingga 10 malam.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun tidak menawarkan sebarang jaminan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Salleh yang juga penganggur manakala Siti Aida yang bekerja sebagai tukang urut tampak bingung apabila diminta mahkamah untuk mengemukakan rayuan.

Noor Aini kemudiannya memaklumkan bahawa beliau memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh untuk membuat rayuan.

“Saya bagi peluang buat rayuan, kalau tak jamin, (tertuduh) boleh direman, dipenjara,” katanya.

Noor Aini kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Dalam pada itu, mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 April sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya