KUALA NERUS: Hasil tanaman padi di kawasan seluas 12,000 hektar di Terengganu masih tinggi dan dapat menampung keperluan 60 peratus tahap sara diri penduduk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pencapaian tersebut berikutan pengeluaran padi di negeri ini mencatat purata 5.2 tan metrik sehektar.
Katanya, pencapaian tersebut meletakkan negeri ini berada di tempat kedua selepas Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang dengan pengeluaran yang dihasilkan 5.6 tan metrik sehektar.
Katanya, walaupun kebanyakan kawasan sawah di negeri ini diusahakan dua kali setahun disebabkan ancaman banjir pada musim Monsun Timur Laut, keseluruhan hasil keluaran padi di negeri ini adalah tinggi.
“Antara kawasan sawah yang ditanam padi dua kali setahun adalah Skim Paya Padi Dadong, Skim Paya Paman di Kemaman dan Skim Durian Mentangau di Dungun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu, Azman berkata, hasil pengeluaran padi di negeri ini menunjukkan peningkatan sejak 2019.
“Sebanyak 71,382 tan metrik hasil pengeluaran padi dicatatkan pada 2019, 73,068 tan metrik (2020) dan 75,013 tan metrik (2021).
“Angka rasmi jumlah pengeluaran padi tahun 2022 belum dikeluarkan namun dijangka sedikit berkurangan berikutan bencana banjir besar pada Februari tahun lalu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk meningkatkan sistem pengairan dan saliran menerusi projek pembangunan infrastruktur sawah padi pada tahun ini.
Katanya, projek tersebut merupakan antara strategi untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi di negeri ini.
“Kemudahan sistem pengairan dan saliran tersebut dapat menggalakkan pesawah mengusahakan tanaman padi sebanyak dua kali setahun,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan negeri mengetatkan proses kelulusan permohonan tukar syarat tanah di kawasan aktif tanaman padi bagi mengelakkan kekurangan hasil pengeluaran padi pada masa hadapan.
“Kita (kerajan negeri) tidak membenarkan tukar syarat di kawasan tanaman padi untuk pembinaan bangunan, rumah dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










