Haqiem Rusli, Afieq Shazwan tidak lupa jasa stesen radio tempatan - Utusan Malaysia

Haqiem Rusli, Afieq Shazwan tidak lupa jasa stesen radio tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haqiem Rusli mengakui peranan dan kepentingan stesen radio tempatan sebagai platform awal yang membantu perkembangan kerjaya nyanyiannya.

Katanya, disebabkan itu, dia tidak pernah melupakan jasa stesen radio yang sehingga ke hari ini tidak pernah menganaktirikan penyanyi tempatan sepertinya.

“Saya sentiasa mahu sertai Jelajah Suria kelolaan Suria FM kerana saya kenang jasa mereka. Ketika saya tidak dikenali, merekalah yang sering mengundang saya untuk membuat persembahan.

“Bukan sekali tapi beberapa kali juga peluang itu diberikan kepada saya untuk mempromosikan diri dan kerjaya seni saya sehingga hari ini.

“Jadi, macam mana sibuk sekali pun saya akan tetap cuba untuk luangkan masa sertai program dianjurkan Suria FM untuk mengenang jasa mereka,” katanya.

Bersetuju dengan Haqiem, penyanyi Afieq Shazwan tidak menolak peranan stesen radio tampatan yang banyak menyokong dan membantu menaikkan graf kerjaya seninya sehingga ke hari ini.

“Saya memang nantikan untuk sertai jelajah ini kerana peluang berharga untuk bertemu peminat di serata negeri.

“Ini juga antara cara saya membalas jasa dan menyokong stesen radio tempatan termasuk Suria FM.

“Saya harap bakat-bakat baharu akan terus diberi peluang untuk mencipta menerusi program yang dikelolakan stesen radio,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN