Hanya 15 laporan EIA diluluskan di Pulau Pinang tahun lalu - Utusan Malaysia

Hanya 15 laporan EIA diluluskan di Pulau Pinang tahun lalu

SHARIFAH ZAKIAH Syed Sahab meninjau gerai pempamer yang menyertai Seminar Alam Sekitar ‘Invest In Our Planet’ di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menerima sebanyak 40 laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) membabitkan 27 permohonan projek pembangunan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab bagaimanapun berkata, daripada jumlah itu, hanya 15 laporan yang diluluskan selepas didapati menepati kehendak dan syarat yang ditetapkan.

Ujar beliau, antara laporan EIA yang diterima membabitkan permohonan pelaksanaan projek di kawasan cerun, pengolahan dan pelupusan sisa, estet perindustrian, perlombongan, pantai, industri kimia, kuari dan perumahan.

“Ada beberapa sebab mengapa laporan yang dikemukakan ditolak antaranya laporan yang dihantar tidak lengkap sama ada dari segi teknikal atau tidak mematuhi ulasan-ulasan daripada agensi berkaitan.

“Selain itu, terdapat laporan yang dikemukakan gagal mengambil kira keperluan polisi, pelan struktur, guna tanah termasuk keperluan ‘buffer zone’ (zon penampan) iaitu jarak selamat antara kawasan projek dan kawasan penempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar ‘Invest In Our Planet’ di sini hari ini.

Mengulas mengenai program itu, tambah beliau, ia bertujuan mendedahkan pemaju, jururunding, pembekal teknologi serta masyarakat terhadap keperluan pelaburan bagi memelihara serta memulihara persekitaran untuk masa depan lebih baik dan selamat.

“Penceramah terdiri daripada pelbagai bidang antaranya seni bina, perancangan projek dan reka bentuk alam sekitar berkumpul untuk berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman menerusi seminar ini yang berlangsung selama dua,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.