Halalkan kami tangkap siput retak seribu - Nelayan

Halalkan kami tangkap siput retak seribu – Nelayan

NELAYAN mengasingkan hasil tangkapan siput retak seribu yang mampu menjana pendapatan di sebalik hasil laut seperti ikan yang semakin berkurangan di Kuala Perlis semalam. –FOTO/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hasil daripada kegia­tan menangguk siput retak se­ri­bu oleh nelayan negeri ini di perairan Kuala Perlis di sini mampu mencecah sehingga 40 sehingga 50 tan metrik dengan nilai mencecah RM75,000 sehari atau RM2.25 juta dalam tempoh sebulan.

Jika setahun, nilai hasil tangkapan dikatakan boleh mencecah sehingga RM27 juta di sebalik aktiviti penangkapan siput tersebut diharamkan oleh Jabatan Perikanan.

Justeru, kira-kira 200 nelayan di negeri ini menggesa agar Jabatan Perikanan ‘menghalalkan’ aktiviti tersebut atau sekurang-kurang­nya mengeluarkan permit kepada mereka bagi melakukan kegiatan berkenaan di sebalik hasil laut se­perti ikan, udang, ketam dan sebagainya yang semakin merosot.

Dalam masa sama, mereka juga meminta kerajaan negeri campur tangan dan menjadi pengantara dengan Jabatan Perikatan agar aktiviti tersebut dibenarkan sekali gus membantu nelayan menjana pendapatan tanpa perlu berasa takut dikenakan tindakan atau hasil berkenaan dirampas oleh pihak berkuasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan, Mohd. Azhad Mohd. Asyraf, 51, berkata, sehari, dalam tempoh dua atau tiga jam, dia mampu memperoleh hasil tangkapan sehingga 700 kilogram siput retak seribu.

Katanya yang sudah lebih 30 tahun sebagai nelayan di sini, harga siput berkenaan dijual sekitar RM1.50 sekilogram dengan pendapatan pula lebih RM700 sehari.

SEORANG nelayan menunjukkan sangkar yang digunakan untuk menangguk siput di Kuala Perlis, semalam. – FOTO/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Selain itu, katanya, penduduk setempat juga boleh menjana pendapatan dengan mengambil upah untuk kerja-kerja menga­singkan siput ini.

“Pihak Jabatan Perikatan per­lu melihat aktiviti tersebut da­lam aspek positif dengan tidak lagi mengharamkan tangkapan tersebut. Jika tidak mengeluarkan lesen sekali pun, mereka boleh mengeluarkan permit kepada nelayan-nelayan ini menangkap siput tersebut atau mengenakan syarat-syarat tertentu.

“Selain itu, mereka (pihak ja­batan) juga boleh melaksanakan prosedur-prosedur tertentu untuk aktiviti penangkapan siput ini seperti penjadualan tangkapan, kawasan atau zon tertentu dan sebagainya.

“Jika melaksanakan tindakan penguatkuasaan sekali pun, para nelayan tetap juga menangkap siput ini kerana ia mampu membantu menjana pendapatan kami ketika hasil laut seperti ikan sudah semakin berkurangan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Ropi Ali, 48, berkata, kebanyakan nelayan ketika ini sudah beralih kepada aktiviti tangkapan siput memandangkan hasil laut seperti ikan, ketam, udang dan sotong sudah berkurangan.

Katanya, Jabatan Perikatan per­lu mengkaji semula pengha­raman tangkapan siput retak seribu itu memandangkan dalam tempoh tertentu siput berkenaan juga akan mati.

Ujarnya, daripada membiarkan nelayan luar menceroboh menangkap siput di perairan negeri ini adalah lebih baik jika kebenaran diberikan kepada nelayan di sini melakukan aktiviti itu.

“Kalau boleh kita minta pihak berkuasa ini memberi kelonggaran. Aktiviti tangkapan siput retak seribu ini bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama. Malah, kalau dilihat tidak ada lagi kajian yang konkrit bahawa aktiviti ini boleh merosakkan ekosistem laut.

“Sekurang-kurangnya laksanakan prosedur seperti tangkapan pada waktu-waktu tertentu dengan permit bukannya terus mengharamkan aktiviti tangkapan berkenaan yang banyak membantu nelayan menjana pendapatan,” katanya yang lebih 30 tahun sebagai nelayan.

Ibrahim Hashim,43, pula berkata, dia terpaksa menangkap siput memandangkan hasil ikan semakin hari semakin merosot.

“Dalam dua atau tiga jam sahaja kita mampu memperolehi sekitar 500 sehingga 700 kilogram siput dan apabila dijual hasilnya agak lumayan.

Siput ini pasaran di seluruh Malaysia yang sentiasa mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Sebagai rekod, aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan kerana Jabatan Perikatan tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti penangkapan siput tersebut.

Malah, aktiviti penguatkuasaan dan rampasan juga kerap dilakukan khususnya oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kuala Perlis di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×