Hadi nasihat PKR kembali kepada al-Quran - Utusan Malaysia

Hadi nasihat PKR kembali kepada al-Quran

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menasihatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya  kembali kepada al-Quran iaitu petunjuk Allah SWT yang kekal terpelihara sepanjang zaman.

Beliau berkata, kenyataan terbaharu seorang pemimpin PKR supaya ahli parti tersebut bersikap ‘menyerang’ ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama sebagai berlawanan dengan ajaran Islam.

Menurutnya, kenyataan pemimpin PKR itu yang dikeluarkan dalam Kongres Nasional Khas 2023 pada Sabtu lalu ¡menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf. 

Abdul Hadi  yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Islamabad mewajibkan gabungan politik antara para pemerintah dengan para ulama termasuk daripada kalangan raja-raja (Uli al-Amri) yang berprinsipkan beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. 

“Perkara ini sekali gus menunjukkan bahawa Sultan (raja-raja) juga mempunyai hak kewajipan berpolitik. 

“Namun demikian, apa yang berlaku sekarang adalah kita masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik. Malah, raja-raja hanyalah ditugaskan supaya menjaga agama sahaja.  

“Apa yang dipertahankan oleh PKR itu merupakan ajaran yang dinyatakan oleh Bible (Injil) yang telah dipesongkan daripada agama para anbiya.

“Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan (Matthew 22: 21),” katanya dalam satu status yang dimuat naik dalam Facebook rasminya hari ini.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak menyebut mana-mana pemimpin PKR dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada ucapan penggulungan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung kontroversi arahan beberapa negeri agar ahli politik dilarang memberi ceramah di masjid dan surau bagi mengelak ia disalahgunakan sebagai pentas politik.

Saifuddin menyifatkan kenyataan Abdul Hadi yang ingin meneruskan ceramah politik dalam masjid sebagai mengingkari titah Sultan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan sebagai khalifah di muka bumi, manusia juga perlu melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dengan melakukan ibadat dan Allah juga mewajibkan kepada seluruh hamba-Nya agar berpolitik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya