Guru tanggung ‘hutang’ tertipu pelaburan patuh syariah

Guru tanggung ‘hutang’ tertipu pelaburan patuh syariah

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama sebahagian daripada 330 mangsa yang mendakwa ditipu pelaburan saham di hadapan lbu pejabat Polis Daerah Sentul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat seorang guru melunaskan hutang dengan menyertai pelaburan didakwa patuh syariah saham ‘memakan’ diri apabila terpaksa menanggung hutang pinjaman peribadi berjumlah RM100,000.

Mangsa, Zakirah Yaakob, 30, berkata, dia tertarik untuk menyertai pelaburan saham dengan modal kira-kira RM50,000 selepas diperkenalkan oleh rakan yang juga ejen syarikat pelaburan itu pada 2021.

Katanya, sebelum menyertai pelaburan itu, dia telah membuat kajian teliti termasuk semakan dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). 

“Malah, syarikat berkenaan turut menggunakan ikon pelaburan ternama antaranya pengarah bank sehinggakan saya yakin untuk melabur. 

“Saya seorang yang sangat cerewet dan berhati-hati dalam membuat keputusan kerana sebelum ini sebagai seorang guru, saya sering dimaklumkan oleh pihak polis mengenai modus operandi sindiket penipuan. 

“Saya mula melabur sejak Oktober 2021 selepas pinjaman peribadi berjumlah RM100,000 diluluskan. Separuh dilaburkan dalam pelaburan ini manakala separuh lagi dalam saham lain,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Zakirah berkata, selepas empat bulan menerima dividen sebanyak RM1,500 setiap bulan sejak Januari hingga April tahun lalu, dia tidak lagi menerima dividen dengan syarikat terbabit mula memberikan pelbagai alasan. 

“Saya berasa amat malang kerana kedua-dua pelaburan yang saya sertai ini adalah penipuan. 

“Disebabkan rasa tamak saya mahu menyelesaikan hutang dengan keuntungan pelaburan, saya terpaksa menanggung hutang pinjaman peribadi selama 10 tahun,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Harun Mohd. Yunos, 63, berkata, dia terpaksa kerugian mencecah RM250,000 daripada wang persaraan apabila tidak mendapat pulangan yang dijanjiian. 

Dia yang merupakan pesara kerajaan mula terpedaya dengan pelaburan tersebut apabila diajak rakan yang juga ejen dengan menjanjikan dividen berjumlah RM6,700 sebulan. 

“Saya hanya terima selama empat bulan kemudian mereka gagal membayar dengan pelbagai alasan diberi,” ujarnya. 

Pemandu e-hailing, Othman Asri, 57, berkata, impian dia untuk menunaikan ibadah haji menggunakan wang hasil pelaburan berkenaan turut ‘lebur’ apabila menjadi mangsa penipuan syarikat terbabit. 

“Saya menyertai pelaburan ini melalui ejen yang juga kenalan ketika berborak di dalam masjid yang mendakwa ia patuh syariah. 

“Ketika itu, saya memasang niat untuk menunaikan ibadah haji dan menyertai pelaburan terbabit dengan nilai pelaburan RM20,000 pada Mac 2021 dan menerima dividen RM500 selama setahun namun mereka gagal membayar duit modal yang diberi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN