Gerai nasi ayam berempah RM15 sebungkus sudah ditutup

Gerai nasi ayam berempah RM15 sebungkus sudah ditutup

SALAHUDDIN Ayub (empat kiri) melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan di Bazar Ramadan Rahmah Presint 14 Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah gerai yang menjual nasi ayam berempah pada harga tidak masuk akal iaitu RM15 sebungkus di sebuah bazar Ramadan di Puchong, Selangor sudah ditutup.

Perkara itu disahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, namun menyifatkan kes itu amat terpencil dan harga dikenakan gerai berkenaan sangat tidak berpatutan.

Menurutnya, pegawai penguat kuasa kementerian sudah memeriksa gerai berkenaan dan mendapati ia sudah ditutup, mungkin setelah mendapat kritikan daripada orang ramai.

“Saya tidak mendengar aduan harga melampau kecuali satu kes membabitkan nasi ayam berempah yang dijual dengan harga RM15 yang saya anggap sangat terpencil.

“Sebenarnya, kalau satu nasi dengan ayam ataupun sayur paling tinggi RM8 hingga RM9, tapi kalau sampai RM15, itu dah dianggap tidak berpatutan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Peringkat Kebangsaan di Bazar Ramadan RAHMAH Presint 14, Putrajaya hari ini.

Katanya, kes itu terlalu asing dan tidak menjadi isu besar di mana-mana bazar Ramadan, namun pegawai penguat kuasa KPDN akan sentiasa memantau isu berkenaan.

Salahuddin berkata, jika peniaga dikesan mengenakan harga melampau, pihaknya tidak akan mendenda atau merampas peralatan perniagaan mereka, sebaliknya menasihati terlebih dahulu.

Menurutnya, beliau faham semua orang ingin mencari rezeki pada bulan mulia ini untuk bekalan menyambut Syawal nanti.

Sabtu lalu, tular di media sosial mengenai peniaga bazar Ramadan di Puchong Selangor yang mengenakan harga nasi ayam berempah RM15 sebungkus sehingga mengundang kritikan netizen.

Harga yang dikenakan itu disifatkan melampau kerana ayam berempah bukan bersaiz besar, manakala begedilnya cuma besar sedikit daripada duit syiling 50 sen lama serta tempe pula panjangnya tidak sampai sejengkal.

Terdahulu, Salahuddin melancarkan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Peringkat Kebangsaan di Bazar Ramadan RAHMAH Presint 14, Putrajaya hari ini.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuklah satu lokasi di Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya