Enam suspek termasuk dua wanita ditahan terlibat pecah rumah

Enam suspek termasuk dua wanita ditahan terlibat pecah rumah

SHAMSUDIN Mamat (tiga kiri) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan barangan hasil curi yang berjaya dirampas polis dalam operasi khas di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan premis selepas enam suspek termasuk dua pasangan kekasih dicekup dalam operasi antara 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan warga tempatan berusia antara 23 hingga 56 tahun itu ditahan di kawasan Pulai serta Bongor, di sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian pecah sebuah sekolah rendah di kawasan Kupang yang melibatkan kerugian sejumlah wang tunai hasil jualan buku yang disimpan di pejabat sekolah itu.

“Susulan laporan itu, satu operasi khas iaitu Op Pintu Khas dilaksanakan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bagi mengesan penjenayah terlibat, kita berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah itu dalam tiga serbuan berasingan serta merampas barangan yang disyaki hasil kegiatan jenayah dilakukan.

“Hasil siasatan mendapati semua suspek lelaki mengaku terlibat dalam kejadian pecah rumah di daerah ini, Sungai Petani dan Sik sejak awal tahun lalu. Mereka juga didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah.

“Salah seorang suspek lelaki yang ditahan dipercayai ketua kumpulan tersebut dan turut disyaki terlibat dalam kejadian pecah sekolah terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shamsudin berkata, dua suspek perempuan pula ditahan kerana disyaki berperanan sebagai tukang menjual barangan kemas curi itu sama ada di kedai menjual atau membeli emas serta pajak gadai yang terletak di Kuala Ketil, Sungai Petani, Sik serta Pengkalan Hulu, Perak.

Katanya, antara barangan yang dirampas adalah 13 ketulan emas yang merupakan hasil daripada barang kemas yang telah dilebur, dua bentuk cincin emas, dua utas rantai tangan emas, seutas rantai leher emas serta televisyen, pengering rambut dan pelbagai beg tangan.  

Tambah beliau, kejayaan menumpaskan kumpulan penjenayah terbabit berjaya menyelesaikan 19 kes pecah rumah dan curi melibatkan rumah, kedai dan sekolah di daerah ini dengan kerugian kira-kira RM150,000.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek terlibat jenayah sama di kawasan luar daerah Baling iaitu di Sungai Petani sebanyak satu kes, Sik (2), Kulim (1) dan Pengkalan Hulu (2),” jelasnya.

Kata Shamsudin, kesemua suspek termasuk dua lelaki yang didapati positif dadah jenis methamphetamine ditahan reman sehingga hari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kita juga menjalankan siasatan ke atas pemilik kedai emas dan pajak gadai yang bertindak membeli barangan kemas yang dicuri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.