KUANTAN: Seorang bapa dan anak lelakinya berusia 10 tahun terpaksa hidup berpindah randah dari satu lokasi ke lokasi untuk mencari rezeki dengan mengutip barangan terbuang seperti botol plastik dan besi untuk menampung keperluan hidup mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rosli Goli, 45, yang berasal dari Batu 9 di Jaya Gading di sini berkata, sejak berpindah ke sini dari Terengganu setahun lalu, dia dan anaknya, Mohd. Nor Firman Arasul hidup berpindah randah dan tinggal di tempat yang banyak barang terbuang kerana itu sumber rezeki harian mereka.
“Sebelum ini saya dan anak tinggal di Beserah berdekatan pantai, kami bina khemah, tidur di situ dan saya buat kerja meleraikan barang terbuang khususnya besi sebelum dijual.
“Tapi lokasi itu dilanda banjir dan kami berpindah pula ke Semambu, sudah sebulan lebih kami di sini.
“Inilah tempat saya buat kerja dan kumpul barangan terbuang, tidur pun di sini kerana kami tiada tempat tinggal. Untuk mandi saya dan anak akan pergi ke stesen minyak berdekatan dan juga tandas awam,” katanya di sini semalam.
Rosli berkata, menerusi kerja menjual barangan terbuang khususnya besi, dia biasanya memperoleh pendapatan harian RM20 ke RM50.
“Inilah sumber pendapatan saya, hari-hari kena kerja. Jika tidak kami tiada duit untuk makan. Setiap hari kerja hanya untuk makan.
“Macam mana jika tidak larat sekali pun, saya tetap kena keluar mencari rezeki. Jika tak kerja apa kami hendak makan,” katanya.
Menurutnya, dia tidak tahu berapa lama akan tinggal di Semambu kerana barangan terbuang di lokasi itu makin berkurangan kerana ramai melakukan kerja tersebut.
“Saya tak tahu berapa lama di sini, mungkin selepas ini ke tempat lain pula. Di mana tempat yang banyak barangan terbuang, di situlah saya akan pergi selepas ini,” katanya.
Bapa tunggal itu berkata, sentiasa terdetik di hatinya untuk melakukan kerja lain, mempunyai pendapatan tetap dan tempat tinggal selesa serta menghantar anaknya ke sekolah.-utusan











