MARANG: Dua beradik tidak menyangka perniagaan jeruk buah-buahan yang diusahakan untuk membantu keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020 lalu mampu bertahan dan kini menjadi sumber pendapatan mereka.
Nur Fatin Fitri Mohammad, 26, dan adiknya, Nur Fatin Ayunie, 23, dari Perumahan Bukit Che Nik, Binjai Rendah di sini, menghasilkan lebih 10 jenis jeruk tanpa bahan pengawet sehingga mampu meraih pendapatan mencecah RM2,500 sebulan.
Menurut Nur Fatin Ayuie yang memiliki Diploma Kesetiausahaan, mereka kini mempunyai lebih 10 ejen jualan termasuk di luar Terengganu seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Negeri Sembilan.
“Sewaktu PKP, ayah kami, Mohammad Salleh, 54, tidak dapat bekerja sebagai pemandu lori sekali gus menyebabkan pendapatan keluarga terjejas. Saya dan kakak kemudian sepakat untuk cuba nasib dengan berniaga jeruk yang diproses di rumah.
“Kami mendapat sumber inspirasi dan rujukan untuk menghasilkan jeruk daripada ibu saudara di Kelantan yang juga berniaga jeruk buah-buahan. Bermula sekadar mencuba, tidak sangka mendapat sambutan positif bukan sahaja dalam kalangan kawan-kawan tetapi juga penggemar jeruk.
“Antara jeruk dihasilkan ialah selagi atau asam jawa, salak, kundang, anggur serta mempelam yang dijual antara RM11 hingga RM15 bagi setiap bekas bergantung kepada jenis. Perisa pula seperti jolek kuah merak dan manis budu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah anak ketiga dari lima beradik ini, jeruk yang dihasilkan mereka tanpa bahan pengawet boleh bertahan sekitar seminggu pada suhu bilik dan boleh mencecah tempoh lebih tiga bulan jika disimpan dalam peti sejuk.
Sementara itu, Nur Fatin Fitri yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai runcit pula berkata, mereka berdua tiada pembahagian khusus tugasan sebaliknya semua proses menghasilkan jeruk dilakukan secara bersama.
“Kebanyakan bekalan buah-buahan yang digunakan untuk membuat jeruk terutamanya kelubi diperoleh daripada pembekal di Kedah serta Kelantan,” ujarnya
Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Nur Fatin berkata, dia dan adiknya berhasrat meluaskan pasaran jeruk yang dihasilkan mereka termasuk di pasar raya. – UTUSAN










