KANGAR: Lemah dan tidak bermaya selain keadaan kaki masih berantai.
Itu keadaan tiga remaja lelaki berusia antara 13 tahun hingga 16 tahun dipercayai menjadi mangsa dera ketika ditemukan berkeliaran oleh orang awam di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di sini dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 malam kelmarin.
Lebih menyayat hati, dua daripada tiga remaja tersebut adalah orang kurang upaya (OKU).
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, hasil siasatan awal mendapati dua remaja tersebut dirantai bersama di bahagian kaki manakala seorang lagi tidak dirantai.
Katanya, remaja tersebut dipercayai dikurung dan dirantai di dalam sebuah rumah oleh ibunya yang tidak bersama mereka.
“Mereka (tiga beradik itu) telah melarikan diri dari rumah dipercayai kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian. Lain-lain maklumat belum diperoleh kerana mereka enggan bercakap,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, hasil keterangan awal ibu kepada remaja berkenaan menyatakan sikap ketiga-tiga mereka agak sukar dikawal dan kerana itu wanita itu bertindak merantai mangsa tersebut.
“Ketiga-tiga mangsa berada di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan dalam keadaan stabil serta tidak menunjukkan sebarang trauma atau ketakutan,” katanya.
Berikutan itu, Yusharifuddin berkata, polis menahan seorang wanita dipercayai ibu remaja itu bersama seorang lelaki berusia 31 tahun untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Kedua-dua mereka direman tujuh sehingga 31 Mac ini,” katanya. – UTUSAN










