Bincang dengan LPF - Afdlin Shauki - Utusan Malaysia

Bincang dengan LPF – Afdlin Shauki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Afdlin Shauki, 51, berharap Lembaga Penapis Filem (LPF) pada masa akan datang dapat membuka lebih banyak ruang perbincangan dengan pembikin filem dan drama tempatan.

Katanya, langkah itu perlu bagi meleraikan sebarang kekeliruan dan rasa tidak puas hati yang timbul dalam kalangan penerbit dan pengarah lebih-lebih terhadap isu pemotongan babak serta penapisan filem dan drama.

“Kita tidak boleh menafikan peranan LPF yang penting untuk mengawal dan memantau kandungan yang dipaparkan dalam sebuah filem atau drama, lebih-lebih di Malaysia yang mana masyarakatnya mengamalkan budaya dan adat ketimuran yang tinggi.

“Tetapi, kita juga perlu berbincang dan berdiskusi dengan pihak mereka sekiranya ada kekangan atau kawalan yang dilaksanakan LPF mengecewakan atau tidak menyenangkan kita.

“Saya harap LPF lebih terbuka tentang perkara ini agar apa sahaja isu atau salah faham yang timbul antara kedua pihak dapat diselesaikan dengan kaedah perbincangan,” katanya.

Afdlin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Malam Gala Filem Imaginur di ibu kota, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Afdlin juga berharap agar LPF dapat memberi sedikit kelonggaran dengan meletakkan filem-filem yang mengandungi mesej penting dan bermanfaat dibawah kategori tontonan umum (U).

“Saya pernah bertemu LPF dan mempersoalkan tindakan mereka yang pada awalnya, meletakkan filem Papadom di bawah kategori tontonan 18 tahun ke atas (18) hanya disebabkan filem tersebut mengandungi babak anak tinggi suara kepada ayahnya. Saya lega kerana selepas berbincang dengan LPF, mereka bersetuju untuk menukar kategori filem tersebut kepada tontonan 13 tahun ke atas (13).

“Jadi saranan saya kepada mana-mana pembikin (filem atau drama) agar merujuk dan berbincang dengan LPF sekiranya timbul isu atau rasa tidak puas hati terhadap tapisan yang telah dibuat terhadap karya mereka.

“Pada masa yang sama, saya juga berharap LPF dapat beri sedikit kelonggaran kepada filem-filem yang mengandungi mesej positif dengan meletakkan filem-filem seperti itu dibawah kategori tontonan umum (U),” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya