‘Bilik sempit, tak logik dera Bella’ - Utusan Malaysia

‘Bilik sempit, tak logik dera Bella’

SITI Bainun Ahd. Razali (tengah) tiba di mahkamah sambil diiringi peguamnya bagi menghadiri prosiding pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menafikan dia telah mendera remaja sindrom Down, Bella di bilik laundry rumahnya di Kondominium Irama Wangsa dekat sini kerana kejadian itu tidak berlaku dan tidak logik.

Wanita terbabit turut menafikan kejadian dia didakwa memijak lutut Bella kerana pada ketika itu berat badannya me­ningkat dengan mendadak kerana pengambilan hormon.

“Tak mungkin untuk saya dan Yasmin, Aida serta Bella (seperti yang dinyatakan Yasmin) ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya kata empat orang berdiri dalam itu untuk dera Bella. Ia sangat tidak mungkin dan saya tidak nampak logiknya. Tiada apa-apa yang berlaku (ruang dobi) sebab saya dan Yasmin pun dah tak boleh masuk (ruang laundry).

“Dalam bilik itu, ada almari (berukuran) satu setengah hingga dua kaki. Itu tidak termasuk barang-barang lain yang disimpan dalam bilik itu termasuk barang dapur dan barang yang saya ingin jual semula seperti periuk yang tidak boleh digunakan.

“Mengenai kejadian saya suruh Yasmin pegang Bella sebelum saya pijak lutut juga tidak berlaku kerana kalau betul, lutut Bella mesti patah kerana ketika itu berat saya tinggi (naik mendadak) sebab saya ambil hormon untuk menyusukan anak (angkat) saya,” katanya.

Yasmin atau nama penuhnya Yasmin Nahar Mahmood merupakan saksi pendakwaan kelima dan bekas penghuni Rumah Bonda.

Wanita terbabit berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Mohammad Farhan Maaruf dalam perbicaraan kes mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadap wanita itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu Siti Bainun memberitahu, dia percayakan Yasmin termasuk ‘cerita’ Bella ter­kena air panas.

“Kejadian yang berlaku (insiden Bella terkena air panas daripada termos) adalah sebagaimana yang diceritakan oleh Yasmin kepada saya kerana ketika kejadian saya tiada di rumah. Bila saya balik ke rumah, kea­daan adalah sama seperti yang Yasmin ceritakan kepada saya, jadi saya tidak fikir Yasmin tipu saya,” katanya.

Dia juga menafikan dakwaan Yasmin bahawa remaja itu dilayan seperti hamba abdi atau berlakunya pilih kasih.

“Saya sayang Aida dan Balqis seperti anak saya sendiri. Yasmin adalah penghuni Rumah Bonda tetapi saya layan dia lebih daripada penghuni Rumah Bonda yang lain. Hari jadi Aida pun saya tak belikan kek, sambut hari jadi seperti saya buat untuk Yasmin.

“Yasmin bantu saya apabila saya ada kecemasan seperti perlu menghantar penghuni ke hospital untuk bersalin. Jika tidak, saya sentiasa berada di rumah kerana saya berniaga dari rumah, kerja di rumah. Yasmin hanya tinggal dengan saya,” jelas Siti Bainun.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya