KUALA LUMPUR: Perbicaraan Siti Nuramira Abdullah atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan komediri (stand up comedy), tetap diteruskan sama ada di hospital atau di rumah jika keadaan kesihatan masih tidak mengizinkannya hadir di Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Norhasniah Ab. Razak menyatakan demikian selepas pasukan pembelaan memaklumkan Siti Nuramira dimasukkan ke Wad Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam menyebabkan mahkamah menangguhkan perbicaraan kali kedua hari ini.
Beliau turut meneliti sijil cuti sakit dan beberapa dokumen perubatan yang dikemukakan oleh penjaminnya kepada mahkamah.
Norhasniah bagaimanapun tidak berpuas hati dengan butiran yang terkandung dalam sijil cuti sakit tersebut kerana tidak menyatakan bahawa Siti Nuramira dimasukkan ke Wad Kecemasan PPUM.
“Dokumen ini sama sahaja dengan yang dikemukakan sebelum ini (semalam) dan tidak menyatakan masa kemasukan dan nombor wad manakala kad ini sama seperti kad rawatan susulan biasa,” jelas hakim berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menetapkan 17 April ini untuk menyambung perbicaraan dan mengarahkan laporan perubatan dikemukakan kepada mahkamah.
“Saya mahukan laporan perubatan, bicara akan tetap dijalankan sama ada di hospital atau di rumah sebab ini (penangguhan) sudah kali kedua,” katanya.
Norhasniah turut menetapkan tarikh perbicaraan selanjutnya pada 26 dan 31 Mei ini.
Mahkamah sepatutnya menyambung sesi soal balas dengan mendengar keterangan seorang hos sukarela di Crack House Comedy Club pada perbicaraan terhadap Siti Nuramira atas pertuduhan menghina Islam.
Prosiding soal balas itu berkaitan rakaman video berdurasi dua minit yang ditayangkan di mahkamah yang didakwa memaparkan seorang wanita membuat persembahan komediri sebelum membuka tudung dan baju kurung dan mengutarakan kata-kata kesat.
Pada perbicaraan kelmarin, Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, 26, yang juga saksi pendakwaan pertama memberitahu, Siti Nuramira menyentuh isu agama ketika membuat persembahan komediri sehingga mengejutkan pengunjung premis itu.
Pereka grafik itu turut mendakwa, wanita tersebut menggunakan kata-kata kesat sehingga menimbulkan reaksi bercampur dalam kalangan pengunjung menyebabkannya terpaksa meneutralkan keadaan.
Siti Nuramira yang rakaman videonya tular di media sosial didakwa melakukan perbuatan itu ketika membuat persembahan di premis beralamat Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail di sini kira-kira pukul 6 petang, 4 Jun 2022.
Siti Nuramira yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa atas pertuduhan pindaan membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.
Rakaman video kejadian itu tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kontroversi tidak bermoral yang membawa kepada pendakwaan terhadapnya pada 13 Julai 2022.
Pegawai eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) itu didakwa melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam R. Sivaraj memaklumkan, anak guamnya tidak dapat hadir hari ini kerana dimasukkan ke Wad Kecemasan PPUM, semalam.
Jelas peguam bela, pihaknya tidak dapat mengemukakan dokumen perubatan yang berkaitan kerana ia hanya akan diberikan apabila anak guamnya dibenarkan keluar daripada hospital.
Semalam, perbicaraan ditangguhkan selepas Siti Nuramira diberikan cuti sakit oleh PPUM setelah didiagnos mengalami viral gastroenteritis setelah diserang demam, muntah dan kekejangan perut.
Norhasniah ketika itu mempertikai butiran alam sijil cuti sakit itu yang tidak menyertakan nombor wad, tarikh dan masa kemasukan. – UTUSAN