Biar minat berbeza, tetapi kita saling menghargai - Siti Nurhaliza

Biar minat berbeza, tetapi kita saling menghargai – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR sebenarnya bernafas sebagai penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ada sahaja percubaan membanding-bandingkan dia dengan pemain industri muzik yang lain.

Jumlah kehadiran konsert, cara nyanyian penyanyi baharu dan lama serta banyak lagi isu yang menjadi perbalahan peminat di media sosial. Semuanya terkait dengan nama penyanyi tersebut.

Mengakui ada kala hadir tekanan dek perbandingan yang kerap ditularkan, Siti Nurhaliza sebenarnya mahu setiap peminat mana-mana artis untuk melihat sisi positif yang mula diraih penyanyi kesayangan mereka.

Lambakan konsert yang kini berlangsung saban minggu membuka pintu rezeki untuk setiap anak seni tidak kira baharu atau lama. Setiap mereka juga mempunyai kelompok peminat tersendiri.

“Kadang-kadang stres juga kan. Bila orang nak banding-bandingkan. Tuhan sudah buka balik ruang rezeki untuk anak seni berkarya. Tengoklah betapa banyak konsert yang berlangsung selepas pandemik.

“Bagi saya, apa yang penting adalah anak seni boleh cari makan. Perbandingan siapa lebih baik, itu saya sendiri tidak faham. Terkejut bila tiba-tiba nama sohor kini di media sosial, rupanya ada perselisihan.

“Tak perlu berbalah. Saya faham, peminat ada pendirian mereka untuk menyokong dan melihat artis kesayangan masing-masing lebih ke hadapan. Tetapi tak perlu banding-bandingkan,” kata penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu.

Tambah penyanyi berusia 44 tahun itu lagi, kepuasannya dalam mengadakan persembahan atau konsert bukan sekadar untuk menghiburkan tetapi memberi semula rasa sayang kepada peminat yang hadir.

Jelas Siti Nurhaliza, senang hatinya andai dia dapat menyempurnakan sesebuah persembahan atau konsert yang dapat memberi pulangan dalam bentuk apa sekali pun kepada masyarakat khususnya yang memerlukan.

“Sebab itu, Yayasan Nurjiwa mengadakan konsert kutipan dana untuk membantu mereka yang memerlukan. Saya rasa, penting untuk kita lebih saling menghargai. Walaupun minat berbeza, tetapi kita saling menghargai.

“Peminat berkumpul sama, meraikan bukan untuk melihat siapa lebih bagus atau tidak. Bukan untuk membanding-bandingkan setiap bakat, tetapi untuk memberi semula kepada masyarakat,” katanya.

KONSERT SATU SUARA VOL 3

Membuka gelanggang bicara tentang Konsert Satu Suara Vol 3, Siti Nurhaliza berkata, dia mahu menampilkan sesuatu yang berbeza dengan menggabungkan tiga penyanyi dari era berbeza.

Bakal menampilkan Jay Jay dan Ernie Zakri, jelas pengasas Yayasan Nurjiwa itu, kedua-dua penyanyi tersebut memiliki kekuatan, keunikan dan peminat tersendiri yang mampu menyuntik kelainan dalam siri konsert itu.

“Ernie seperti yang kita semua tahu, memiliki suara dan vokal hebat yang diperakui. Saya sendiri kagum dengan kebolehnya dan bakatnya. Sudah lama sebenarnya menyimpan hasrat bekerjasama dengan Ernie.

“Jay Jay pula mempunyai pengalaman dan lagu-lagunya sangat dekat dengan kita. Dia mempunyai kelompok peminat sendiri. Kita membesar dengan lagu-lagunya,” katanya.

Bakal diadakan di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, 13 Mei depan, konsert itu juga bakal menampilkan pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito.

Konsert anjuran Yayasan Nurjiwa itu juga bertujuan untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan, kebajikan, bencana alam dan pembiayaan sekolah kanak-kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin.

Konsert Satu Suara Vol 1 sebelum ini dijayakan oleh Aizat, Faizal Tahir dan Siti Nurhaliza pada 2010, manakala, Vol2 pula menyaksikan trio Datuk Ramli Sarip, Hetty Koes Endang dan  Siti Nurhaliza pada 2015.

Orang ramai boleh membeli tiket Konsert Tiga Suara Vol 3 dengan harga RM288, RM388, RM488, RM588 di www.myticket.asia atau menerusi hotline +603-86050196.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.