Bersatu lantik MB di Selangor, Negeri Sembilan jika menang PRN

Bersatu lantik MB di Selangor, Negeri Sembilan jika menang PRN

MUHYIDDIN Yassin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melantik Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan jika meraih kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN), tidak lama lagi.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

“Kita dah runding bersama komponen PN. Kelantan, Terengganu dan Kedah kekallah Pas punya dan berdasarkan tinjauan kita, insya-Allah sapu bersih semua kerusi.

“Selangor dan Negeri Sembilan bila menang dan bentuk kerajaan, Bersatu jadi Menteri Besar dan kerajaan. Jangan tanya siapa jadi Menteri Besar dan ini dah dipersetujukan.

“Di Pulau Pinang, kita tengok siapa menang banyak kerusi, dia jadi Ketua Menteri. Kita perhalusi dan teliti macam mana, situasi mungkin ada kata sukar untuk menang, tapi mungkin tak sukar mengurangkan majoriti,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini.

Dalam sidang media selepas perhimpunan, Muhyiddin turut menjelaskan, pengagihan kerusi dibuat secara adil dan sama rata, manakala kemasukan parti Pejuang dan Berjasa akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Penyandang kerusi pihak Pas mungkin kekal, di sebelah kita boleh kita kekalkan persefahaman, jawatan kuasa perundingan kerusi akan bincang. Kerusi yang tidak dimiliki oleh sesiapa kecuali pembangkang iaitu UMNO, PKR dan sebagainya, maka kerusi kita runding diputuskan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap kekurangan dana tidak akan menjejaskan saingan dalam PRN akan datang.

“Disebabkan kerajaan menindas kita begitu rupa, kita tak ada dana, bermakna kalau keperluan dana masih ada, mereka harus ikhtiar sendiri, cari yang wajar, setakat yang mampu, rapat dengan pengundi.

“Walaupun tak ada upaya dari jentera, tidak ada sumber dana, semangat ada dalam kalangan rakyat dalam menentukan kita boleh mencapai kemenangan,” katanya.

Beliau berharap kerjasama dengan Pas akan dapat membantu PN meraih kemenangan dalam PRN akan datang terutama di Selangor.

“Kita ada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kita ada Datuk Radzi Jidin dan pengerusi negeri. Kita ada semua data berdasarkan pilihan raya lalu dari segi potensi untuk menang berapa kerusi di Selangor.

“Tapi, kita tidak mahu memandang mudah, tak mahu terlalu yakin, kita tahu PKR pun tidak mahu hilang kerajaan negeri. Kita akan susun strategi, kita ada jumlah yang cukup untuk tawan Selangor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya