Bekas pengurus didakwa pecah amanah lebih RM41,000

Bekas pengurus didakwa pecah amanah lebih RM41,000

SITI Khadyja Razali didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan pecah amanah. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas pengurus syarikat butik menjual produk jenama artis terkenal didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan pecah amanah wang hasil jualan syarikat berjumlah lebih RM41,000 tahun lalu.

Tertuduh, Siti Khadyja Razali, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, Siti Khadyja sebagai Pengurus di Syarikat Fazfit Sdn.Bhd. yang telah diamanahkan suatu harta iaitu wang hasil jualan syarikat berjumlah RM41,143.50 telah melakukan pecah amanah jenayah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Aeon Nilai dekat Nilai pada 17 Jun hingga 27 Julai tahun lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Superintenden L.Rathna mencadangkan mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Asiah Abd. Jalil yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum atas alasan tertuduh sudah tidak bekerja.

Asiah berkata, tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang ditahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 24 Mac ini.

Sementara itu, di luar pekarangan mahkamah, ahli keluarga yang beremosi bertindak menghalang wartawan membuat liputan selain memarahi jurugambar yang merakamkan gambar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN