Bekalan telur ayam dijamin cukup untuk Ramadan, Syawal - Utusan Malaysia

Bekalan telur ayam dijamin cukup untuk Ramadan, Syawal

MOHD. Zolkafly Harun (kanan) menjual telur ayam kepada pengunjung sempena 'happy hour' pada program Jualan Ramadan Madani di Pasar Tani Tapah, Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak mengedarkan sebanyak 290,000 biji telur ayam bagi keperluan dalam negeri dalam tempoh empat bulan sejak Disember lalu.

Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, bekalan telur tersebut diperoleh daripada pengusaha tempatan termasuk pembekal di Melaka.

Katanya, setakat ini, bekalan telur ayam di Perak mencukupi terutama bagi menampung keperluan dan permintaan tinggi orang ramai ketika Ramadan dan Syawal ini.

“Biasanya permintaan telur ayam ketika Ramadan dan Syawal akan menjadi dua kali ganda. Namun, setakat ini kita dapati bekalan telur ayam adalah mencukupi.

“Jika ada keperluan, kita sedia gerakkan logistik untuk mendapatkan bekalan dari negeri lain bagi memastikan bekalan di Perak mencukupi.

“Kita pun memang ada ambil bekalan telur ayam dari negeri lain contohnya dari Melaka,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Ramadan Madani di Pasar Tani Tapah di sini hari ini.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

Noorsham berkata, FAMA Perak menyasarkan nilai jualan RM1 juta menerusi Program Ramadan Madani di 12 lokasi pasar tani di seluruh Perak.

Menurutnya, 12 lokasi pasar tani terlibat ialah di Agrobazaar Semanggol, Agrobazaar Trong, Agrobazaar Taman Jana, Pasar Tani Kekal Lekir dan Pasar Tani Tanjung Malim.

Selain itu katanya, lokasi lain ialah di Agrobazaar Mat Frozen, Pasar Tani Gerik, Pasar Tani Tapah, Pasar Tani Seri Iskandar, Pasar Tani Kuala Kangsar, Pasar Tani Kampung Simee dan Pasar Tani Medan Gopeng.

“Keistimewaan program Jualan Ramadan Madani ini ialah jualan harga istimewa di mana pengurangan sekitar lima hingga 10 peratus bagi komoditi terpilih dan pelaksanaan ‘happy hour’.

“Kita juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) untuk membantu masyarakat mendapatkan telur, ayam, sayur dan buah-buahan dengan harga penjimatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya