Anwar bertemu Presiden Filipina

Anwar bertemu Presiden Filipina

ANWAR Ibrahim (kanan) bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. di Istana Malacanang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengadakan pertemuan sulung bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. di Istana Malacanang pada permulaan lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Ia merupakan pertemuan bersemuka pertama antara Anwar dan Ferdinand selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun lalu.

Terdahulu, ketibaan Anwar dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Istana Malacanang disambut Ferdinand dan Wanita Pertama Filipina, Marie Louise Araneta Marcos.

Anwar yang memakai baju batik dan bersongkok kemudian diberikan sambutan permaidani merah oleh pemimpin Filipina itu.

Setelah lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dan Filipina dimainkan, diikuti 19 das tembakan hormat, Anwar dengan diiringi Ferdinand memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi 165 angkatan tentera Filipina.

Dalam pertemuan Perdana Menteri bersama Presiden Filipina, kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pelbagai perkara kerjasama dua hala.

Ini termasuk bidang keselamatan, pertanian, industri halal dan ekonomi digital di samping mereka juga membincangkan isu serantau dan antarabangsa ada kepentingan bersama.

Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk ’30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN’ di Universiti Filipina.

Terdahulu, Anwar tiba di Filipina bagi memulakan lawatan ke negara itu selama dua hari apabila pesawat khas membawa beliau mendarat di Villamor Airbase, sebuah pangkalan udara di Manila pada pukul 12.50 petang.

Ketibaan Anwar dan Wan Azizah disambut Setiausaha Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan Filipina, Rexlon T Gatchalian yang juga Setiausaha Kabinet, Timbalan Setiausaha Eksekutif, Bianca Cristina Cardenas Zobel, Duta Besar Filipina ke Malaysia, Charles C. Jose dan Wakil Lone District of Pasay City, Antonio G.Calixto. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN