Anggota polis tidak mengaku salah terima rasuah - Utusan Malaysia

Anggota polis tidak mengaku salah terima rasuah

MOHD. Izzham Halim (tengah) yang mengaku tidak bersalah terima rasuah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 34 tuduhan menerima rasuah bernilai RM12,500 antara Disember 2019 sehingga Mac 2022.

Tertuduh, Mohd. Izzham Halim, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman didakwa menerima rasuah daripada seorang individu.

Suapan itu diterima sebagai dorongan untuk tertuduh menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai bahagian narkotik polis Kemaman sepanjang tempoh berkenaan.

Tertuduh didakwa menerima suapan antara RM50 sehingga RM3,200 sekitar 26 Disember 2019 sehingga 10 Mac 2022.

Mohd. Izzham didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 April ini sebagai tarikh pengurusan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di Pejabat SPRM antara 1 sehingga 5 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada SPRM negeri.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md. Nasir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya