MENJELANG pemilihan UMNO 18 Mac ini, perebutan bagi jawatan Naib Presiden parti dalam pemilihan itu bakal menarik perhatian ramai yang menyaksikan pertembungan lapan calon.
Selepas jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, sudah pastinya perhatian tertumpu terhadap perebutan jawatan ketiga tertinggi parti.
Enam calon baharu bakal mencabar penyandang iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid manakala Ahli Parlimen Bera yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahan jawatan itu.
Calon baharu yang bakal mencabar jawatan itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Turut bertanding Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Persaingan perebutan jawatan berkenaan dijangka sengit dengan beberapa nama dilihat menjadi antara pilihan mengisi tiga jawatan Naib Presiden itu seperti Johari, Azalina selain Khaled dijangka mampu mengekalkan jawatan.
Dalam kesemua calon tersebut, antara nama-nama yang dilihat ‘orang kuat’ Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah seperti Khaled dan Azalina dan mempunyai peluang cerah untuk menang.
Bagaimanapun, Hasni atau Reezal Merican juga bakal memberi cabaran sengit dan tidak mustahil boleh menang jawatan berkenaan.
Selain itu, Johari antara yang dijangka menjadi pilihan akar umbi berdasarkan ketokohan dan kemampuannya yang sangat dihormati kawan dan lawan selain mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi sekali gus bakal menambah ‘aura’ kepada parti.
Sebagai salah seorang tokoh korporat dihormati, Johari yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini. Akar umbi melihat Johari antara calon sesuai untuk mengisi salah satu jawatan tersebut.
Dalam pada itu, pertembungan bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita antara Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil juga menarik untuk diperhatikan.
Penampilan semula Shahrizat yang pernah menerajui sayap berkenaan dari 2008 hingga 2018 dilihat sebagai pilihan untuk menang bagi mengembalikan semula taring Wanita UMNO yang dilihat agak suram kebelakangan ini.
Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO pula menyaksikan perebutan antara empat calon iaitu Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli MT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.
Saingan bagi jawatan tersebut agak terbuka dengan Muhamad Akmal dilihat antara yang menjadi pilihan akar umbi mengisi jawatan berkenaan selain Mohd Shahar juga mempunyai peluang mengetuai sayap parti itu.
Perebutan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula melibatkan enam calon termasuk Naib Ketua Puteri, Nurul Amal Mohd Fauzi; Ahli MT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Mohd Fauzi; Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar; Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin dan Exco Puteri, Dr. Masliha Harun.
Bagi mengembalikan aura puteri, Khaidhirah dilihat calon yang paling sesuai mengisi jawatan berkenaan selain Masliha juga dikatakan menjadi antara pilihan namun semua itu terserah kepada akar umbi yang bakal membuat pilihan pada pemilihan tersebut.
Akar umbi bakal membuat pilihan terbaik yang dijangka mengimbangi antara mereka yang dikatakan ‘orang kuat’ Presiden atau muka-muka baharu mengisi barisan kepemimpinan termasuk dalam kalangan barisan MT. – UTUSAN










