KUALA LUMPUR: Noorakmal Amiruddin Zulkifli,15, anak kepada Allahyarham Asisten Superintenden Zulkifli Mamat, pegawai polis yang terkorban dalam tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, berhajat untuk meneruskan pembelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Katanya, sudah setahun beliau teringin untuk menjejakkan kaki ke MRSM apabila memasuki tingkatan empat nanti.
Malah jelasnya, ramai sepupunya pernah memasuki MRSM sebelum ini.
“Saya amat bersyukur Datuk Asyraf (Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki) berkata akan mempertimbang permohonan saya dengan janji melepasi kriteria yang ditetapkan.
“Saya lebih bersemangat dan akan belajar bersungguh-sungguh supaya tidak mensia-siakan peluang yang diberi.
“Satu hari nanti saya berimpian untuk menjadi seorang pegawai polis macam ayah saya juga,” katanya selepas sidang akhbar bersama Pengerusi Mara itu di Ibu Pejabat Mara di sini hari ini.
Semalam, balu kepada Allahyarham ASP Zulkifli, Nooraziah Noor berkata, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbang bantuan pendidikan buat tiga anaknya sehingga ke peringkat universiti.
Beliau mendakwa sebelum ini ada pihak, termasuk agensi kerajaan menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anaknya, namun ia tidak ditunaikan biarpun tragedi itu sudah hampir 10 tahun berlalu.
Nooraziah, 38, berkata, beliau bersyukur Asyraf berjanji akan memberikan peluang kepada ketiga-tiga anaknya itu.
“Saya amat berterima kasih beliau sanggup mendengar rayuan saya.
“Saya harap anak-anak saya akan mengambil peluang ini dengan baik untuk meneruskan pengajian hingga ke universiti,” katanya. – UTUSAN