Ahmad Zahid dapat semula pasport antarabangsa secara kekal

Ahmad Zahid dapat semula pasport antarabangsa secara kekal

AHMAD ZAHID HAMIDI

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini boleh keluar negara pada bila-bila masa selepas Mahkamah Rayuan hari ini memulangkan semula pasport antarabangsa yang ditahan ekoran pendakwaan kes jenayah.

Pasportnya ditahan oleh Mahkamah Tinggi hampir lima tahun lalu berikutan pendakwaan terhadapnya berhubung pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi sejak 2018.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah membenarkan permohonan beliau untuk mendapatkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatiknya secara kekal selepas berpuas hati permohonan itu mempunyai merit.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Datuk Lim Chong Fong selepas meneliti hujahan bertulis dan afidavit sokongan yang difailkan oleh Ahmad Zahid.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah beliau tidak mendapat arahan untuk mengemukakan sebarang bantahan.

Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan pada 13 Februari lalu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui pihak media sejurus prosiding selesai berkata, pihaknya mengemukakan permohonan baharu di hadapan mahkamah agar kedua-dua pasport antarabangsa dan diplomatik dipulangkan secara kekal.

Ujar beliau, panel berkenaan berpuas hati bahawa mereka mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan permohonan tersebut.

Pada awal prosiding hari ini, Hakim Hanipah meminta kepastian sama ada pemohon memfailkan rayuan atau semakan dan sama ada panel itu mempunyai bidang kuasa mendengarnya.

Hisyam kemudian memaklumkan, pihaknya meminda permohonan semakan dan mengemukakan permohonan baharu serta tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Hisyam berkata, ekoran keputusan itu Ahmad Zahid hanya tertakluk kepada jaminan RM2 juta bagi kes jenayah yang sedang dihadapinya tanpa dikenakan syarat tambahan lain.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Pada 3 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan pelepasan sementara pasport antarabangsanya bagi membolehkan Ahmad Zahid, 70, memohon pasport diplomatik.

Hakim berkenaan seterusnya memerintahkan beliau menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkmamah setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai.

Berdasarkan notis usul, Ahmad Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata, Hakim Collin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) terkhilaf dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

“Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk saya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

“Oleh itu, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara, yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid menyatakan bahawa permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan, pasport antarabangsanya yang kini ditahan menjadi kekangan kepada beliau untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2 Disember 2022 dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN