Aduan isu kepenggunaan di Pulau Pinang meningkat - Utusan Malaysia

Aduan isu kepenggunaan di Pulau Pinang meningkat

A. MOGAN pada program pelancaran Bulan Pengguna Kebangsaan peringkat Pulau Pinang di Bukit Mertajam, hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 424 aduan diterima oleh pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah KPDN negeri, A. Mogan berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 329 aduan untuk tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, aduan tertinggi yang diterima ialah di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan 263 kes iaitu pertambahan sebanyak 55 kes berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, ini diikuti oleh aduan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan 97 aduan berbanding 74 aduan sebelum itu.

Menurut beliau, aduan-aduan lain yang diterima dan mengalami peningkatan ialah di bawah Akta Cap Dagangan 2019; Akta Perihal Dagangan 1972; Akta Kawalan Bekalan 1961; Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 2000; Akta Timbang dan Sukat 1972; Akta Sewa Beli 1967 serta Pelesenan.

“Secara keseluruhannya, sepanjang tahun lepas sahaja, KPDN Pulau Pinang telah menerima sebanyak 1,668 aduan dengan 938 daripada aduan tersebut ialah di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan rata-rata pengguna khususnya di negeri ini semakin prihatin dengan isu-isu kepenggunaan dan mereka juga semakin sedar akan hak masing-masing sebagai pengguna,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika majlis pelancaran Bulan Pengguna Kebangsaan peringkat negeri selain acara pelepasan peserta untuk program Jejak Kepenggunaan 2023 berhampiran Kompleks Sempilai Jaya di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mogan berkata, pihaknya mengambil berat akan setiap aduan yang diterima dan perlu menyelesaikan aduan-aduan tersebut dalam tempoh tiga minggu sahaja.

“Dalam masa tiga hari selepas aduan itu diterima, kita mesti buka kertas siasatan sama ada aduan itu betul atau tidak,” katanya yang memberitahu, medium yang paling kerap digunakan untuk menyalurkan aduan ketika ini ialah menerusi aplikasi WhatsApp. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.