Adastra ‘taruhan’ AUE Marin - Utusan Malaysia

Adastra ‘taruhan’ AUE Marin

SYARIKAT AUE Marin ditubuhkan Muhammad Amin Hazwan Abdul Hamid bersama pasukannya antara yang terlibat dan diberi kepercayaan menambah baik reka bentuk dalaman sebuah kapal layar mewah, Adastra yang sebelum ini tular di media sosial selepas berlabuh di Kuala Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Meskipun usianya baru menjengah 25 tahun, namun tidak menghalang seorang anak muda bagi merealisasikan cita-citanya dalam dunia marin khususnya berkaitan kapal mewah.

Berkat kemahuan dan usaha, Muhammad Amin Hazwan Abdul Hamid menubuhkan syarikat AUE Marin sejak awal tahun ini bagi menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan penambahbaikan dalaman kapal mewah sekali gus menjadi individu pertama di Perlis yang menawarkan perkhidmatan seperti itu.

Malah, anak muda tersebut bersama pasukannya juga antara yang terlibat dan diberi kepercayaan menambah baik reka bentuk dalaman sebuah kapal layar mewah, Adastra yang sebelum ini pernah tular di media sosial selepas berlabuh di Kuala Perlis di sini.

Kehadiran kapal layar mewah pada Ogos tahun lalu itu menggamit perhatian terutama nelayan dan penduduk setempat yang memaklumkan pertama kali melihat kapal mempunyai reka bentuk unik berkenaan.

Difahamkan, reka bentuk kapal layar yang elegan itu pernah memenangi Anugerah Dunia Superyacht 2013 dan dianggarkan bernilai AS$10 juta atau RM45 juta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Amin berkata, dia menubuhkan syarikat berkenaan selepas melihat potensi cerah dalam bidang perkhid­matan penyelenggaraan kapal mewah secara persendirian di negeri ini.

Katanya, meskipun masih baru menceburi bidang itu namun dia amat bertuah apabila diberi kepercayaan menambah baik reka bentuk dalaman sebuah kapal mewah yang pernah tular sebelum ini dikenali sebagai Adastra.

“Sebelum ini, saya sebenarnya aktif menjalankan kerja-kerja kontraktor bagi membina rumah, jalan dan sebagainya namun setelah melihat potensi dalam bidang berkenaan, saya memutuskan untuk menubuhkan AUE Marin yang merupakan anak syarikat kepada AUE Construction Sdn. Bhd. (AUE).

“Alhamdulillah, walaupun baharu berkecimpung dalam bidang ini, namun syarikat saya telah diberi kepercayaan oleh pemilik kapal mewah tersebut untuk melakukan penambahbaikan terhadap reka bentuk dalamannya,” katanya.

Tambah bapa kepada seorang anak itu, kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan tersebut dilaksanakan di Perlis Marine Engineering (PME) di Kuala Perlis di sini.

Katanya, dia turut bekerjasama dengan pasukannya sendiri terdiri daripada empat orang ‘specialist painter’ dari Italy bagi melakukan kerja-kerja mengecat kapal mewah berkenaan.

“Minat yang mendalam ter­hadap kapal-kapal mewah ini telah mendorong saya untuk terlibat secara lebih serius dalam bidang tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya