\3 sindiket tumpas, dadah RM2 juta dirampas

3 sindiket tumpas, dadah RM2 juta dirampas

AZMI Abu Kassim melihat beberapa jenis dadah yang yang dirampas dalam sidang akhbar berhubung kejayaan menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan nilai rampasan rm2.18 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di sekitar kawasan Lembah Klang tumpas dengan tertangkapnya enam individu dalam serbuan berasingan di ibu negara pada 27 Februari hingga kelmarin..

Menerusi serbuan yang dijalankan di enam lokasi itu, pelbagai dadah bernilai RM2 juta dirampas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, menerusi serbuan pertama yang dijalankan pada 27 Februari lalu, dua lelaki tempatan ditahan di dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Taman Tun. Dr Ismail.

Kata beliau, hasil serbuan itu,  dadah jenis ganja seberat 20 Kilogram (kg) bernilai RM50,000  ditemukan.

“Semakan lanjut ke atas kedua-dua suspek berusia 28 tahun dan 30 tahun itu mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Azmi berkata, dalam serbuan kedua pada 1 Mac lalu, seorang lelaki tempatan  ditahan di dalam sebuah kenderaan di sebuah pusat beli belah, Taman Keramat.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan suspek berusia 21 tahun itu, dadah jenis syabu seberat tiga kg bernilai RM123,000 berjaya dirampas.

“Lanjutan daripada itu, kita menyerbu sebuah kondominium di Melati sebelum merampas syabu seberat  dua kg bernilai RM123,000 namun tiada tangkapan dilakukan,” jelasnya.

Azmi berkata, dalam tempoh sama, polis melancarkan empat serbuan di sekitar Segambut, Cheras dan Pandan Perdana sebelum menahan tiga individu terdiri dua lelaki dan seorang wanita.

Jelas beliau, hasil tangkapan di hadapan sebuah pusat beli-belah itu, pihaknya merampas serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 56 gran bernilai RM2,800.

“Rentetan serbuan itu, kita kemudian menyerbu sebuah rumah teres di Taman Gemilang, Cheras sebelum menemukan pelbagai dadah.

“Lanjutan daripada itu, kita telah menahan seorang lelaki di dalam sebuah kenderaan di hadapan pusat beli belah di Maluri Cheras sebelum merampas dadah jenis Ketamin, Pil Erimin 5 dan Pil Ecstasy,” ujarnya.

Tambah Azmi, pihaknya turut melakukan serbuan di sebuah rumah teres di Pandan Perdana namun tiada tangkapan dilakukan.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sindiket ini dikesan aktif sejak tiga bulan lalu dan kita giat mengesan ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN