20,000 penduduk Kampung Telok Gong mohon naik taraf jalan - Utusan Malaysia

20,000 penduduk Kampung Telok Gong mohon naik taraf jalan

Telok Gong
PENDUDUK yang menyertai bantahan itu di Kampung Telok Gong, Klang, Selangor, hari ini. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 20,000 penduduk Kampung Telok Gong di sini, menggesa pihak berwajib menaik taraf jalan utama di kawasan itu yang didakwa sudah meragut 20 nyawa terutama penunggang motosikal sejak lima tahun lalu.

Keresahan itu susulan jumlah kenderaan berat semakin banyak menggunakan laluan sama yang turut mengorbankan Allahyarhamah Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, kelmarin.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan dua hala itu sesak dengan kenderaan termasuk puluhan lori dan treler melaluinya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Gong, Rosli Ismail berkata, 58, keadaan jalan sepanjang tujuh kilometer itu masih sama sejak sekian lama sedangkan jumlah kenderaan berat kian meningkat.

“Selain menaik taraf jalan sedia ada, kami memohon bonggol dan pemutus kelajuan dibina bagi mengelak pengguna memandu laju terutama kenderaan berat.

“Masa operasi kenderaan berat menggunakan laluan itu juga perlu dihadkan terutama ketika waktu puncak,” katanya ketika ditemui selepas menyertai bantahan aman di kampung itu, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama 100 penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berdekatan lokasi kemalangan menimpa Nurul Jannatun Assyifa.

Kelmarin, murid perempuan itu maut akibat digilis treler manakala adiknya, Alif Zahfran, 7, dan pengasuh wanita berusia 54 tahun cedera dalam tragedi kira-kira pukul 11.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai sesi persekolahan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Telok Gong.

Lebih memilukan, Nurul Jannatun Assyifa tidak sempat memakai baju kurung baharu yang dibeli bapanya bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Bagi penduduk, Kahar Jaafar, 58, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk pemandu kenderaan berat yang menggunakan laluan itu.

“Namun, faktor kemalangan yang agak kerap berlaku sehingga dipercayai mengorbankan 20 nyawa perlu dielak daripada berlarutan. Bagi saya, semua pihak perlu lebih berwaspada menggunakan laluan itu dan tidak bersikap mementingkan diri dengan memandu laju sehingga berlaku kemalangan,” ujarnya yang menetap di kampung itu sejak 50 tahun lalu.

Sementara itu, Azmizam berkata, beliau akan membincangkan isu berkenaan secara terperinci dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Memang diakui laluan kampung itu sentiasa sesak dengan kenderaan berat dan mengundang bahaya sekiranya tidak berhati-hati,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya