2 bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan - Utusan Malaysia

2 bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

DUA bot nelayan Indonesia serta sembilan kru warganegara itu ditahan Maritim Malaysia di Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam kerana didapati menceroboh perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan Indonesia serta sembilan kru warganegara itu kerana didapati menceroboh perairan negara semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia melakukan penahanan ke atas kedua-dua buah bot nelayan itu di kedudukan 83 kilometer dan 88 kilometer barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan kira-kira pukul 11.40 pagi dan 12.10 tengah hari.

”Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan oleh empat kru, manakala bot kedua pula dikendalikan lima kru.

”Kesemua mereka merupakan warga Indonesia berumur antara 17 hingga 41 tahun dan kedua-dua bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

Sehubungan itu, ujar beliau, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Kedua-dua bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan negara.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya