15 tahun kumpul duit beli kasut Adidas: Chew Kin Wah kuasai empat bahasa - Utusan Malaysia

15 tahun kumpul duit beli kasut Adidas: Chew Kin Wah kuasai empat bahasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI ramai menyangka pelakon berketurunan Cina, Chew Kin Wah, 57, hanya memegang watak-watak ringan seperti tauke kedai runcit, tabib kedai ubat atau anggota komunis baik di televisyen atau layar perak. 

Namun, sedar atau tidak, namanya sangat dikenali dalam kalangan sutradara dan produksi di Indonesia sehingga pernah meraih anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Tempo Jakarta pada 2017, menerusi filem Cek Toko Sebelah. 

Filem sama juga melayakkan dirinya merangkul anugerah bagi kategori sama di Indonesian Box Office Movie Awards 2017 (IBOMA).   

Kata pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini, Jakarta bagaikan rumah keduanya kerana selain variasi watak yang ditawarkan, Indonesia juga lebih banyak mengiktiraf bakat lakonannya. 

“Di sana, saya pernah ditawarkan watak sebagai bapa kepada Gabenor Jakarta dan jurulatih pemain badminton. Berbanding di Malaysia, saya selalu dapat watak yang hampir sama. 

“Sebagai pelakon sudah tentu kita suka apabila ditawarkan bermacam-macam watak sekali gus dapat menguji kemampuan diri sendiri,” kata Kin Wah yang sudah membintangi hampir 50 filem di kedua-dua negara. 

Ditanya rahsia mudah memboloskan diri ke Jakarta, Kin Wah atau nama Islamnya, Anuar Abdullah berkata, selain bakat, dia juga menguasai empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Kantonis dan Indonesia.

Jelasnya, penguasaan bahasa juga boleh menjadi sebab dia mudah diterima berlakon di negara seberang.    

Kin Wah menembusi pasaran Indonesia sejak 2015 menerusi filem My Stupid Boss bersama Bront Palarae. 

Selain filem Cek Toko Sebelah, The Assistant dan Dimsum Murtabak yang sudah ditayangkan di Netflix, Kin Wah turut mendapat tawaran berlakon pelbagai sinetron di sana.   

 

Berlakon teater

Menceritakan detik permulaan berkecimpung dalam bidang seni, Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2014 menerusi drama Mentari Terbit Lagi berkata, dia asalnya bekerja sebagai juruukur bahan.  

Ketika mempunyai masa terluang pada sebelah malam, katanya, dia akan menyertai pementasan teater di bandar. 

“Masa itu, pertunjukan pentas dipersembahkan dalam bahasa Inggeris dan agak sedikit dilakukan dalam bahasa Melayu. Agak lewat juga saya berlakon teater sebab masa itu umur dalam lingkungan 26 ke 28 tahun.

“Selepas tempoh 10 ke 15 tahun, orang mula kenal saya dan tawarkan untuk berlakon drama televisyen. Drama pertama lakonan saya adalah sitkom berbahasa Inggeris, Kopitiam (1997) dan Astana Idaman (2002),” katanya. 

Kin Wah pernah terlibat dalam sitkom bahasa Cina walaupun dirinya sendiri tidak menguasai bahasa tersebut sehingga lebih 200 episod berjaya dirakamkan di Astro.   

Berpegang pada prinsip jujur dan amanah sejak menceburi bidang lakonan, membuatkan pelakon filem Juang ini sentiasa laris dengan tawaran lakonan. 

Terkini, Kin Wah membintangi drama Legenda Puteri Qaseh sebagai Tabib Chan Teik Tak yang disiarkan di Astro Ceria sejak Januari lalu.

Walaupun begitu, katanya, dia tidak pernah menggalakkan anaknya menceburi bidang lakonan.  

“Anak saya tak ikut jejak langkah menjadi pelakon. Saya pesan kalau nak jadi pengarah atau penerbit boleh sebab susah sebenarnya menjadi seorang pelakon,” katanya yang tidak mempunyai darah seni dalam keluarga. 

Air kelapa hidangan berbuka

Pelakon filem My Stupid Boss ini memeluk Islam sejak 2013 dan amalan berpuasa pada bulan Ramadan tidak mendatangkan sebarang masalah buat dirinya. 

“Pengalaman pertama berpuasa tiada apa yang susah sebab sudah biasa sejak kecil lihat kawan berbangsa Melayu berpuasa dan boleh main bola pada masa sama. 

“Minuman kegemaran saya semasa berbuka adalah air kelapa. Saya tak minat dengan konsep berbuka ala buffet seperti di hotel. Saya bukan suka makan terlalu banyak, asalkan kenyang dan mencukupi,” katanya. 

Tak reti cakap Mandarin

Walaupun berketurunan Cina, Kin Wah secara jujur memberitahu tidak tahu bertutur dalam bahasa Mandarin. Sebaliknya, dia lebih menguasai bahasa Kantonis yang dipelajari hasil menonton drama Hong Kong di televisyen. 

“Dulu bapa hantar saya belajar di sekolah kebangsaan sebab suruh bergaul dengan orang Melayu. Bahasa Cina ini agak leceh sebab banyak hendak kena hafal perkataan.

 “Di rumah ada juga cakap Cina cuma standard pertuturan itu tidak sama seperti kita belajar. Saya lebih banyak belajar bahasa Kantonis di televisyen. 

“Zaman itu boleh sewa videotape dari kedai dan macam-macam filem Hong Kong dapat tonton. 

“Sebab itu, saya lebih fasih bertutur dalam Kantonis sebab bahasa Cina ada banyak loghat lain,” kongsinya. 

Kin Wah yang dilahirkan pada 30 September 1965 memberitahu, mendiang neneknya suka berkain sarung seperti wanita Nyonya dan tempat untuk dirinya bermanja. 

“Saya ada enam adik beradik dan merupakan anak dari emak kedua sebab bapa kahwin lebih daripada satu. Jadi banyak beza umur dengan adik beradik lain. 

“Emak saya pernah berniaga di kantin kilang Motorola di Ipoh. Keluarga saya bukanlah orang senang dan tidaklah terlalu susah. Masa kecil, makanan kegemaran saya adalah lauk ikan masin dan telur masin,” katanya. 

Kin Wah berkata, dia pernah menyimpan duit selama 15 tahun semata-mata mahu membeli kasut jenama Adidas yang berharga RM60 ketika itu. 

“Saya bukan anak orang kaya yang boleh pergi bercuti sampai ke England. Kalau hendak apa-apa mesti kumpul duit sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya