NEW DELHI: Filem Pathaan berjaya melonjakkan nama pelakon superstar, Shah Rukh Khan sekali lagi selepas mencatatkan jualan pecah panggung bukan sahaja di India, tetapi di beberapa negara lain.
Pencapaian itu sekali gus mencatatkan sejarah dalam pembikinan filem Bollywood yang berjaya mendominasi pasaran antarabangsa.
Walaupun kali terakhir Shah Rukh Khan berlakon filem pada 2018 dan mengambil masa empat tahun untuk berehat, namun lakonan Raja Bollywood ini ternyata masih kekal ampuh.
Menerusi Pathaan yang berjaya mengutip jualan tiket mencecah RM190 juta di seluruh dunia, filem itu sekali gus merekodkan filem ke-14 pelakon itu yang berjaya mengutip jualan melebihi RM40 juta.
Pada masa ini, Shah Rukh Khan adalah satu-satunya pelakon India yang memegang rekod tersebut di pasaran antarabangsa.
Sebelum ini, filem kontroversi itu berdepan bantahan banyak kumpulan agama di India hingga menjurus kepada demonstrasi membakar poster.
Di sebalik hangatnya tentangan yang diterima, naskhah yang ditayangkan pada 25 Januari lalu mengutip kutipan pecah panggung apabila tayangan hari pertama sahaja mencecah hampir RM28.5 juta.
Secara tidak langsung, naskhah yang turut membariskan Deepika Padukone dan John Abraham tersebut mencatat sejarah sebagai filem Bollywood pertama mencapai jumlah perolehan sebanyak itu untuk tayangan hari pertama.
Dengan pembukaan sebanyak itu, Pathaan menjadi pembuka filem Bollywood terbesar pernah diterbitkan apabila menewaskan filem Thugs of Hindostan arahan Aamir Khan yang memperoleh RM26 juta pada hari pertama tayangan.
Malah buat julung kali sejak 33 tahun lalu, pawagam di Kashmir mencatatkan jumlah penonton yang ramai sehingga banyak panggung wayang dibuka semula demi memenuhi permintaan ramai.-AGENSI