11 lelaki melepak waktu solat Jumaat ditahan - Utusan Malaysia

11 lelaki melepak waktu solat Jumaat ditahan

SEBAHAGIAN daripada lelaki yang melepak pada waktu solat Jumaat ditahan penguat kuasa JHEAT di Kuala Terengganu, hari ini.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 11 lelaki yang melepak di kawasan kedai sekitar hentian bas dan teksi dekat Tanjung di sini pada waktu solat Jumaat ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam satu operasi, hari ini.

Kesemua lelaki yang ditahan itu berusia 20 hingga 50 tahun dan daripada jumlah itu, enam daripada mereka adalah pekerja di pasar raya berhampiran.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Khairul Azizi Idris berkata, lelaki tersebut memberi alasan mereka telah menunaikan solat Jumaat dan baru sahaja pulang dari masjid ketika ditahan.

“Bagaimanapun, kita tidak menerima alasan tersebut kerana pegawai penguat kuasa syariah wanita telah membuat pemantauan di situ sejak pukul 1.15 tengah hari.

“Pemantauan mendapati mereka memang berada di situ dan tidak pergi menunaikan solat Jumaat hinggalah ditahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Operasi yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JHEAT itu mendapat kerjasama daripada 20 pegawai penguatkuasa syariah Daerah Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

Khairul Azizi berkata kesemua lelaki tersebut akan didakwa mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (pindaan 2016).

“Jika sabit kesalahan, mereka  boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

“Kita mengingatkan masyarakat Islam khususnya lelaki Muslim  agar tidak culas menunaikan ibadah solat Jumaat kerana ia adalah wajib kecuali ada  sebarang keuzuran.

“JHEAT akan sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan secara lebih kerap bagi memastikan seluruh umat Islam di negeri ini tidak culas dalam melaksanakan ibadah itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya