Yonnyboii imbau zaman hidup susah dalam Sengkek

Yonnyboii imbau zaman hidup susah dalam Sengkek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pernah melalui zaman tidak berduit dan hidup dalam kesempitan ketika mula membina kerjaya, mencetuskan idea kepada penyanyi rap, Yonnyboii, 25, untuk berkongsi pengalaman itu menerusi single terbaharu, Sengkek.

Yonnyboii berkata, lagu tersebut merupakan imbasan tentang keadaan dirinya ketika mula bekerja, pada masa sama turut mengejar impian untuk berjaya seperti individu lain.

Kongsinya, lagu itu ditulis ketika dia sedang berdepan situasi sukar dan pernah dimuat naik di aplikasi TikTok, beberapa tahun lalu.

“Ia menceritakan perjalanan individu yang mengejar cita-cita dalam serba kekurangan, namun berjaya menempuh pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap selesa.

“Selepas menerima pelbagai respons positif, saya ambil keputusan untuk menyiapkan lagu itu dan menjadikannya sebagai projek terbaharu,” katanya pada sidang akhbar pelancaran single tersebut, petang tadi.

Lagu itu disusun penyanyi hip hop terkenal, SonaOne, manakala lirik ditulis bersama Yonnyboii dan Alyph.

Menurut Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, pada mulanya dia menghantar demo lagu tersebut kepada SonaOne untuk proses susunan dan penerbitan lagu.

Ketika proses tersebut, katanya, Alyph kebetulan datang ke studio dan terus menyatakan hasrat untuk bersama menyumbang tenaga selepas kali pertama mendengarnya.

“Saya berbesar hati kerana memang impian untuk bekerjasama dengan Alyph. Kalau ikutkan, saya pernah mesej Alyph secara peribadi ketika belum masuk industri.

“Saya masih ingat lagi ada bertanya bagaimana untuk buat lagu,” katanya.

Penyanyi lagu Sakit ini berharap, single baharunya itu diterima baik dan memberi inspirasi kepada semua pendengar supaya jangan berputus asa dalam mengejar impian masing-masing.

Sengkek boleh dimuat turun di semua platform digital bermula esok, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di YouTube bermula pukul 9 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN