SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjadikan Intekma Resort & Convention Centre dekat Seksyen 7 di sini, sebagai kolej kediaman yang mampu memuatkan antara 500 hingga 1,000 orang mahasiswa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UiTM, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, selain cadangan tersebut, universiti itu turut mengadakan kerjasama dengan sebuah ejen syarikat hartanah yang menguruskan sebuah perumahan, Palm Garden di Klang untuk dijadikan penempatan mahasiswa yang boleh memuatkan 411 orang.
“Demikian antara yang sedang diusahakan oleh HEP untuk meningkatkan jumlah kolej kediaman dan dalam masa sama membantu mereka untuk mendapatkan tempat penginapan sekiranya permohonan kolej mereka tidak berjaya.
“Selain itu, HEP turut membantu mahasiswa yang gagal mendapat kediaman untuk tinggal secara transit di kolej untuk memulakan kuliah dan dalam masa sama mereka juga dibantu oleh Pejabat Non-Resident (NR) bagi mendapatkan rumah sewa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kampus induk UiTM kini menempatkan kira-kira 33,780 mahasiswa, 60 peratus daripada jumlah tersebut atau 20,663 berstatus NR, sementara 13,117 mendapat tempat di lapan kolej kediaman.
Jelasnya, tidak semua mahasiswa NR memerlukan kemudahan kediaman atau bantuan mendapatkan rumah sewa kerana sebilangan mereka dikenal pasti merupakan penduduk di bandar raya ini atau kawasan lain di Lembah Klang.
Terdahulu, Utusan Malaysia dalam laporan khasnya melaporkan, pengambilan pelajar yang tidak seimbang dengan kapasiti kemudahan penginapan di dalam kampus menyebabkan mereka menjadi mangsa keadaan sehingga terpaksa mencari rumah sewa dan menanggung perbelanjaan melebihi RM1,000 sebulan untuk tujuan itu.
Dalam pada itu, Mohd. Sazili turut menjelaskan, HEP UiTM memastikan kebajikan mahasiswanya terpelihara menerusi pelbagai bantuan termasuk bank makanan bagi membantu mereka khususnya daripada kumpulan B40.
“Di Shah Alam sendiri HEP UiTM mempunyai program menyerahkan bantuan asas makanan ke rumah-rumah mahasiswa termasuk beras, tepung dan sebagainya yang disumbang oleh universiti sendiri serta syarikat swasta.
“Selain itu, untuk mahasiswa NR pula, HEP UiTM turut menerima sumbangan makanan bungkus siap masak ditaja oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta untuk diserahkan kepada mereka,” jelasnya.
Katanya, HEP UiTM mempunyai Pelan Strategik 2025 untuk membantu mahasiswa dan menggalakkan mereka menjana pendapatan sendiri menerusi pemerkasaan bakat dengan pembinaan kandungan berkualiti dalam media sosial serta program keusahawanan konvensional. – UTUSAN











