Trafik sesak 8 kilometer, pemandu lori parah nahas tiga kenderaan - Utusan Malaysia

Trafik sesak 8 kilometer, pemandu lori parah nahas tiga kenderaan

ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 266.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM

IPOH: Seorang pemandu lori cedera parah dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 266.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas menuruni Terowong Menora dekat sini hari ini.

Insiden sekitar pukul 5.11 petang itu mengakibatkan kesesakan apabila dua lorong arah selatan terhalang dan ditutup kepada kenderaan.

Perkongsian di media sosial juga memaparkan sebuah kenderaan Perodua Myvi tersepit antara pembahagi jalan dengan sebuah treler.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat berhubung nahas tersebut.

Katanya, kemalangan itu membabitkan sebuah lori jenis ‘bonded’ dengan sebuah treler dan kereta Perodua Myvi.

“Kemalangan tersebut menyebabkan pemandu lori bonded cedera selepas tersepit di dalam kenderaan.

“Operasi membawa keluar mangsa segera dijalankan menggunakan peralatan menyelamat. Mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, operasi tersebut turut dibantu Unit Bermotor Bomba (RIM) BBP Ipoh.

Sementara itu, Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada pukul 6.22 petang memberitahu, lorong kiri laluan masih ditutup bagi kerja-kerja menyelamat oleh pasukan bomba.

Aliran trafik juga sesak sepanjang 7.5KM. Orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan lebih teruk. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN