Tiada lesen korek pasir dikeluarkan - PTG - Utusan Malaysia

Tiada lesen korek pasir dikeluarkan – PTG

TIMBUNAN pasir yang didakwa dikorek secara haram di Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri tidak mengeluarkan lesen kepada syarikat yang menjalankan aktiviti mengorek pasir di kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, Segari di Lumut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Datuk Mohamad Fariz Mohamad berkata, pihaknya tidak pernah memberi kelulusan kepada syarikat itu untuk menjalankan aktiviti mengorek pasir di situ.

“Tiada apa-apa lesen dikeluarkan atau diluluskan kepada syarikat.

“PTG akan memantau kerana tiada sebarang removal keluar dari tapak. Surat pemakluman kepada semua agensi keselamatan juga telah dikemukakan kepada agensi-agensi berkenaan memaklumkan tiada apa-apa kebenaran boleh memindah keluar pasir dari tapak,” katanya.

Beliau mengulas bantahan oleh aktivis alam sekitar dan penduduk mengenai kegiatan mengorek pasir di satu-satunya kawasan pendaratan penyu di negeri ini iaitu di Pantai Pasir Panjang, Segari di Lumut yang dibimbangi akan menyebabkan haiwan itu tidak lagi akan naik dan bertelur di situ.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman yang meninjau kawasan itu kelmarin memberitahu beliau dimaklumkan oleh penduduk setempat dan nelayan bahawa kerja-kerja itu mula dilakukan pada minggu lalu.

Beliau difahamkan, pengorekan pasir dan penanaman cerucuk kayu itu bertujuan bagi membina jeti atau pontoon untuk membawa keluar pasir milik sebuah syarikat yang beroperasi berhampiran.

Sementara itu, mengenai beberapa aktivis alam sekitar dan penduduk ditahan kira-kira dua jam oleh kumpulan individu dipercayai wakil syarikat yang melakukan kerja-kerja pengorekan pasir di kawasan berkenaan, Mohamad Fariz berkata, kawasan kejadian adalah tanah milik syarikat tersebut.

Menerusi laporan media, beberapa aktivis alam sekitar dan penduduk ditahan kira-kira dua jam oleh kumpulan individu dipercayai wakil syarikat yang melakukan kerja-kerja pengorekan pasir di kawasan berkenaan.

Mereka yang menaiki beberapa kenderaan pikap dihalang meninggalkan kawasan tersebut apabila wakil syarikat meletakkan kenderaan berat bagi menghalang laluan sehingga berlaku kekecohan.

Kumpulan individu itu dikatakan bertindak demikian kerana mendakwa aktivis alam sekitar dan penduduk masuk ke tanah milik syarikat itu tanpa kebenaran.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing diiringi anggota polis pergi ke lokasi tersebut untuk berunding sekali gus menyelesaikan perbalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya