Tender vaksin Covid-19 meragukan - PM

Tender vaksin Covid-19 meragukan – PM

ANWAR Ibrahim bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri mendedahkan terdapat keraguan dalam perolehan vaksin Covid-19 dan kos berkaitan tempoh pandemik bagi tujuan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICk).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menteri-menteri yang terlibat dipercayai menandatangani pembelian vaksin itu ketika tempoh pandemik bagi tujuan PICk tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Semua perbelanjaan bagi program pemberian vaksin kepada rakyat melalui PICK adalah berjumlah RM5.8 bilion.

“Kita mendapati (pembelian dan kos vaksin) tidak mengikuti peraturan, transaksi yang diluluskan tidak mematuhi proses sebenar.

“Sebahagian perolehan vaksin menimbulkan persoalan berhubung angka dan kos, dan perkara ini perlu dibentangkan di Parlimen.

“Jadi, menteri-menteri yang terlibat perlu menjawab atau memberi penjelasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Pada Julai tahun lalu, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin memberitahu Parlimen bahawa semua dokumen perjanjian vaksin dan butiran perbelanjaan termasuk harga vaksin bagi PICK bernilai RM5.8 bilion telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK ketika itu turut memaklumkan sebanyak RM5.8 bilion merangkumi RM4.8 bilion disalur kepada Kementerian Kesihatan dan RM1 bilion disalur kepada MOSTI.

Jelas Khairy ketika itu, selain PAC, bagi memastikan ketelusan perbelanjaan pengurusan PICK, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI telah memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Sains dan Inovasi.

Namun cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan reaksi Khairy berhubung kenya­taan terbaharu Perdana Menteri ini tidak berjaya.

Menurut Anwar, Kementerian Kesihatan akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 dan kos berkaitan yang dikesan tidak mengikuti peraturan pada sidang Parlimen yang akan berlangsung bermula 13 Februari ini.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa akan memberikan perincian secara lanjut berhubung perkara itu.

Sementara itu, Anwar mengarahkan jabatan penguat kuasa untuk bertindak tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik, sebaliknya mengambil tindakan berdasarkan fakta atas sebarang perlanggaran hukum yang dikesan berlaku.

Tegas beliau, segala tindakan dalam menangani rasuah dan salah guna kuasa bukan bersifat dendam politik, namun ia adalah satu tekad untuk tidak lagi bertolak ansur dalam melaksanakan perubahan dan memperbaiki kepincangan sistem sedia ada.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan menyerahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan mengenai tindakan yang perlu diambil membabitkan isu status Pulau Batu Puteh.

Menurutnya, ketika ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sedang menyediakan Kertas Putih mengenainya.

Menyifatkan ia sebagai isu yang tidak berkesudahan, Anwar berkata, sebelum ini laporan pasukan khas membantah keputusan pentadbiran sebelum ini untuk merayu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Akibatnya, kata beliau, negara terlepas satu wilayah kepada Singapura.

“Menteri Undang-undang akan menyiapkan kertas menteri atau kertas putih mengenai sekali lagi isu Batu Puteh yang tidak berkesudahan.

“Sebab itu, Jemaah Menteri bincang panjang mengenai langkah-langkah yang harus diambil. Dan keputusannya (meletakkan kepada) kebijaksanaan Parlimen selepas  memberikan maklumat lengkap mengenai keadaan sebenarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN