Tak wajar potong peruntukan, kawasan Parlimen berbeza

Tak wajar potong peruntukan, kawasan Parlimen berbeza

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (belakang, empat kanan) bergambar bersama-sama penerima insentif kemenangan Sukma 2020 di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan kerajaan memotong peruntukan untuk Ahli Parlimen tidak wajar dilakukan kerana pendekatan lebih baik boleh diambil iaitu dengan menyalurkan peruntukan mengikut kesesuaian sesuatu kawasan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan wajar mengambil kira beberapa pertimbangan antaranya keluasan, kepadatan penduduk serta tahap kemudahan yang ada di sesebuah kawasan Parlimen.

“Untuk Putrajaya contohnya yang memiliki kemudahan begitu banyak, RM1.3 juta mungkin besar sebab tiada keperluan sangat. Tetapi bagi kawasan Parlimen yang luas seperti Baling dan Sik di Kedah ini banyak kumpulan sasar yang perlu dibantu.

“Bagi Parlimen di luar bandar, saya rasa peruntukan perlu ditambah manakala di kawasan bandar yang segalanya sudah ada, kurangkanlah sedikit. Tak perlu bagi sama rata sebab pemberatnya tidak sama di setiap kawasan termasuk dari segi jumlah pengundi dan sosio ekonomi.

“Peruntukan untuk Tambun pun contohnya, mungkin boleh dibawa ke Sik. Lagi pun Ahli Parlimen di situ tidak mengambil gaji (sebagai Perdana Menteri) dan di sana sudah banyak kemudahan, maka Sik sedia terima peruntukan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sempena Sukma 2020 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan mengenai pemotongan peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen penyokong kerajaan (back benchers) yang dikatakan dikurangkan sebanyak 65 peratus daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil berikutan beliau sangat tegas dalam isu tata kelola, rasuah dan salah guna kuasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi mengakui, tindakan itu mungkin sebahagian daripada langkah Kerajaan Persekutuan untuk menjimatkan perbelanjaan.

“Bagaimanapun saya fikir tindakan pemotongan itu tidak patut dibuat sebaliknya perlu ditambah bergantung kepada keperluan. Bukankah mereka ada pakar formula yang kini bertindak sebagai Menteri Ekonomi dan jika ditanya kepada beliau, sudah tentu peruntukan tersebut boleh ditambah.

“Dalam keadaan sekarang pun, bajet masih belum diluluskan dan saya jangka bajet tersebut hanya akan diluluskan pada 30 Mac. Jadi rasanya perbelanjaan tahun ini tidaklah besar kerana pelaksanaan bajet kali ini nampak lebih pendek berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya