Suki tak menangguk isu ‘penyondol’ untuk jual single - Utusan Malaysia

Suki tak menangguk isu ‘penyondol’ untuk jual single

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi Suki Low menafikan dia cuba menangguk di air keruh apabila memilih untuk melancarkan single terbaharu, Bahagia Yang Sebentar ketika isu tentang ‘penyondol’ rumah tangga sedang hangat diperkatakan.

Suki berkata, perancangan untuk melancarkan single tersebut sudah lama dibuat dan tiada kaitan dengan mana-mana individu mahupun situasi.

“Tidak ada istilah menumpang situasi panas untuk gimik pelancaran atau apa-apa sahaja yang melibatkan masalah rumah tangga orang lain.

“Kalau ada yang kaitkan juga, terserah kepada penerimaan masing-masing. Tidak dinafikan lagu ini mengisahkan tentang fasa kedukaan bila kehilangan seseorang.

“Jadi, sesiapa yang pernah melalui fasa tersebut dalam kehidupan mereka pasti akan tersentuh ketika mendengarnya,” kata pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu.

Menurut Suki atau atau nama sebenarnya, Suki Low Sook Yee, 33, dia tidak menyangka akan menerima lagu hasil ciptaan sepenuhnya Shila Amzah itu.

“Sebenarnya, saya terima demo lagu ini daripada Shila sehari selepas GV8 berakhir. Selepas mendengarnya, saya memang suka dengan lagu ini dan mahu jadikannya single baharu.

“Selain popular sebagai penyanyi, Shila juga komposer yang berkaliber. Setiap lagu ciptaannya pasti melekat apabila kita dengar. Contohnya macam lagu Patah Seribu, ia ditulis dengan baik dan emosi dalam lagu itu sampai kepada pendengar.

“Begitu juga dengan Bahagia Yang Sebentar. Saya sangat terharu sehingga menitiskan air mata bila Shila kongsikan demo kerana lagu ini penuh dengan jiwa.

“Ketika menyanyikan lagu ini saya sedar terlalu banyak ‘kesakitan’ yang dilalui sahabat saya itu. Saya berbesar hati atas kepercayaan Shila memberikan lagu ini. Dia sangat menyokong karier saya,” katanya.

Tambah Suki, biarpun demo lagu Bahagia Yang Sebentar itu sudah diterima selepas GV8 berakhir, ia hanya dirakamkan awal bulan lalu.

“Sebenarnya, saya sibuk dengan kerja dan jadual lain. Disebabkan itu, saya mengambil lebih masa untuk selami dan merancang bagaimana untuk menyampaikan lagu ini. Saya terbitkan sendiri lagu ini dan sangat berpuas hati dengan hasilnya.

“Saya berharap lagu ini dapat diterima ramai, selain menemani pendengar yang melalui fasa kehilangan dan menyembuhkan hati duka. Bagi saya, muzik boleh menyembuh dan memberi semangat. Saya berharap Bahagia Yang Sebentar dapat mencapai tujuan itu,” katanya.

Bahagia Yang Sebentar boleh mula distrim di semua pelantar muzik digital bermula semalam dan video muzik rasminya dapat ditonton menerusi saluran YouTube: Nova Music Videos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya