SPRM beku akuan Bersatu

SPRM beku akaun Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bernilai lebih RM40 juta dibekukan Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pembekuan itu dilakukan kira-kira dua ming­gu lalu selepas Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi Covid-19.

Bagaimanapun, hanya RM40 juta masih berada di dua akaun bank Bersatu dan SPRM masih menyiasat baki RM260 juta.

Katanya, pembekuan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

“Siasatan awal mempercayai RM300 juta diterima parti itu bagi tujuan pembiayaan politik.

“Sejumlah RM40 juta wang dalam akaun parti itu dibekukan dan siasatan masih dijalankan bagi kenal pasti keseluruhan baki wang tersebut,” katanya di sini semalam.

Menurut sumber itu, beberapa individu membabitkan parti politik berkenaan dipanggil ke SPRM bagi siasatan lanjut.

Sumber tersebut tidak menolak kemungkinan kepe­mimpinan kanan Bersatu dipanggil dalam masa terdekat.

“Tindakan pembekuan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada proses penyiasatan isu yang sedang disiasat SPRM,” ujarnya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara tersebut kepada Utusan Malaysia namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, satu sumber yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengesahkan beberapa pemimpinnya dipanggil SPRM untuk diambil ketera­ngan berhubung pembekuan akaun-akaun bank milik parti berkenaan.

“Sepatutnya ada mesyuarat jawatankuasa kelmarin, tetapi dibatalkan kerana pemimpin yang akan mempengerusikannya dipanggil SPRM,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian yang beliau tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan gejala rasuah dan penyelewengan di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Dalam wawancara dengan Bloomberg di Singapura baru-baru ini, Anwar turut me­negaskan: “Terdapat begitu ramai pemimpin politik lain yang telah menyalahgunakan kedudukan mereka. Bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, sebanyak ratusan dan berjuta-juta dolar”.

Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, siasatan SPRM berhubung dana ber­kenaan turut difokuskan terha­dap sumber kewangan membabitkan sebuah parti politik.

Dedah Mingguan Malaysia, keterangan beberapa individu daripada enam agensi kerajaan diambil SPRM berhubung siasatan pengagihan projek-projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga tahun lalu.

Kata sumber itu, sebanyak lima pemilik syarikat swasta dipanggil dan disiasat termasuk seorang ketua pegawai eksekutif yang ditahan kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’, baru-baru ini.

Siasatan SPRM turut memberi fokus kepada sumber kewangan yang diperoleh sebuah parti politik yang dikatakan menerima wang berkenaan bagi tujuan pembiayaan politik.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 29 individu diambil keterangan.

Dalam pada itu, Mingguan Malaysia difahamkan, ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta yang menjadi ‘dalang’ dalam pengagihan projek itu adalah individu berkepentingan yang mempu­nyai kaitan dengan menantu kepada salah seorang pemimpin parti politik yang disiasat.

Pada 6 Januari lalu, seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta berusia 42 tahun ditahan SPRM ketika hadir memberikan keterangan dalam siasatan kes berkenaan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber, suspek yang ditahan itu dipercayai telah menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor-kontraktor dengan pihak atasan.

Kata sumber itu, setakat ini, beberapa kontraktor yang di­soal siasat mengaku bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Suspek bagaimanapun dibe­baskan dengan jaminan sele­pas tamat remat pada 12 Januari lalu.

SPRM sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan yang difokuskan kepada dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN