Shahrizat kembali bertanding rebut jawatan Ketua Wanita - Utusan Malaysia

Shahrizat kembali bertanding rebut jawatan Ketua Wanita

SHAHRIZAT Abdul Jalil mengisi borang pencalonan jawatan Ketua Wanita UMNO. - FACEBOOK SHAHRIZAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil antara 57 orang yang menghantar borang pencalonan bagi merebut pelbagai jawatan pada pemilihan UMNO 18 Mac ini.

Perkembangan itu sekali gus menjawab teka-teki beliau akan membuat penampilan semula dalam politik dengan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO.

Perkara itu disahkan oleh wakil Shahrizat kepada Utusan Malaysia.

“Alhamdulillah, borang pencalonan Tan Sri Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia sudah dihantar dan diterima urus setia pukul 11.20 pagi tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini.

Perkembangan itu menyaksikan Shahrizat antara satu-satunya calon setakat ini yang menawarkan diri sebagai calon Ketua Wanita meskipun ada beberapa nama dikhabarkan sedia bertanding.

Berita Shahrizat yang dikatakan kembali mahu menerajui Pergerakan Wanita UMNO setelah seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian menggesanya kembali mengetuai kepimpinan sayap itu pada pemilihan bulan depan.

Shahrizat yang pernah menjadi Ketua Wanita UMNO membuat keputusan untuk tidak mempertahan jawatan ketika pemilihan parti pada 2018.

Selain beliau, penyandang yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad difahamkan akan mempertahan jawatannya manakala Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim juga dikhabarkan akan memberi saingan.

Bagaimana Noraini dan Norliza belum menghantar borang pencalonan Ketua Wanita.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Dalam pada itu, sehingga kelmarin, terdapat seramai 57 calon yang telah mendaftar bagi Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Bagaimanapun sehingga ini masih belum ada individu yang menghantar borang pencalonan jawatan Naib Presiden UMNO.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, jumlah 57 itu membabitkan 12 jawatan daripada 19 jumlah jawatan yang ada dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

“Bagi MT seramai 18 calon sudah pun mendaftar diri untuk bertanding bagi empat jawatan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan juga jawatan-jawatan seramai 25 jawatan dalam MT.

“14 calon sudah berdaftar bagi Wanita UMNO, Pemuda seramai 19 jawatan dan Puteri UMNO enam calon sudah mendaftar dan kesemuanya menjadi 39 calon bagi peringkat sayap dan jumlah kesemuanya ialah seramai 57 calon,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN