KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dikatakan bakal kembali ke gelanggang, sekali gus menjadi pesaing kepada Datuk Noraini Ahmad yang akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO.
Menurut sumber, Shahrizat pernah menyatakan hasrat untuk kembali menerajui Wanita UMNO kepada salah seorang ahli Majlis Tertinggi (MT).
Noraini menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO sejak 2018 yang mana pergerakan itu sebelum ini pernah diterajui Shahrizat sendiri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Zaharah Sulaiman.
Selain itu, bagi jawatan Ketua Puteri UMNO, tiga nama disebut-disebut bertanding merebut jawatan itu yang dikosongkan Datuk Zahida Zarik Khan pada pemilihan parti kali ini.
Pemimpin yang dikatakan berminat merebut jawatan ialah Dr. Masliha Harun, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Nurul Amal Mohd. Fauzi.
Ketiga-tiganya memegang jawatan penting dalam sayap Puteri dan UMNO yang mana Nurul Amal adalah Naib Ketua Puteri manakala Khaidirah yang juga dikenali sebagai Dira adalah ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka.
Masliha pula adalah Exco pergerakan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz sah menawarkan diri bertanding jawatan ahli MT menjelang pemilihan UMNO kali ini.
Begitu juga dengan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang turut menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan. – UTUSAN










