Sewa dulu, beli kemudian - Utusan Malaysia

Sewa dulu, beli kemudian

Pinjaman perumahan merosot boleh menyebabkam berlaku lambakan rumah tidak dijual. – UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan muda yang belum mampu membeli rumah sendiri disaran menyewa terlebih dahulu bagi mengelak daripada menanggung beban hutang ekoran harga rumah yang tinggi ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohammad Sahar Mat Din berkata, kenaikan harga rumah termasuk rumah mampu milik memang tidak dapat dielakkan kerana pasaran Malaysia turut dipengaruhi ekonomi global.

“Saban tahun kita melalui fasa kenaikan harga barang dan tidak terkecuali harga rumah. Jika dahulu yang dikatakan rumah mampu milik, ia juga naik tinggi harganya hingga menyebabkan semakin besar kos diperlukan membeli rumah.

“Jika rumah mampu milik tidak lagi mampu dimiliki maka janganlah kita beli rumah. Sewa sahaja, kerana itu lebih meng­untungkan berbanding membayar kadar faedah bank yang berlipat kali ganda,” kata beliau.

Rabu lalu Utusan Malaysia melaporkan, harga rumah mampu milik dijangka melonjak antara 20 hingga 25 peratus ekoran peningkatan terhadap permintaan dan kos bahan binaan.

Perkara itu terbukti apabila Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor memaklumkan harga rumah mampu milik kategori A daripada RM42,000 naik kepada RM50,000 dan ka­tegori B daripada RM80,000 kepada RM100,000.

Menurut Mohammad Sahar, rakyat juga perlu dididik supaya tidak terikut-terikut dengan budaya ingin memiliki rumah sedangkan tindakan itu menjadi mudarat hutang yang panjang kepada mereka.

Katanya, berdasarkan kajian, kebanyakan rakyat Malaysia menghabiskan 70 peratus gaji hanya untuk membayar pinjaman rumah dan kereta.

“Saya pemaju tetapi dengan kos bahan binaan meningkat dan kenaikan harga rumah, saya sendiri menasihati orang ramai menyewa sahaja,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norulelin Huri berkata, rakyat perlu mengambil tindakan bijak dalam pengurusan kewangan termasuk dalam soal pemilikan kediaman apabila rumah termasuk yang mampu milik naik harga.

“Kita kenal pasti masalah peningkatan harga adalah kerana kenaikan harga bahan binaan dan permintaan di pasaran. Jadi sebagai pembeli, tengok dahulu keperluan untuk membeli rumah.

“Ambil kira komitmen bulanan sebelum membuat keputusan membeli rumah kerana sekarang ini Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga perlu diberi perhatian.

“Pada masa ini, kita perlu sedar harga rumah dalam negara amat terikat dengan kadar permintaan pembeli. Lebih ramai yang membeli, lagi mahal har­ganya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya